Mengapa perlu bohong tentang rundingan HSR, soal Zahid

PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri menghentam Putrajaya selepas Singapura menafikan menteri Malaysia dan pegawai kanan republik itu bertemu pada Ahad mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangkang tidak faham mengapa rundingan HSR perlu direka-reka.

“Sama ada untuk membuktikan kepada rakyat bahawa HSR masih ada dalam jadual pembangunan, atau sekadar menunjukkan betapa kerajaan PH benar-benar membuat kerjanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau tertanya mengapa rakyat tidak dimaklumkan mengenai kedudukan sebenar rundingan projek HSR dengan Singapura.

“Perlukah rakyat dibohongi bagi menutup kelemahan kita?” katanya.

Beliau menghentam Pakatan Harapan kepada menyuakan “tipu muslihat” selepas “mencipta penipuan” mengenai kedudukan hutang negara.

Zahid menambah “belum pun 3 bulan memerintah, kerajaan sudah banyak melakukan ‘silap mata’ terhadap dasar dan janji manifestonya”, seperti janji menghapuskan Akta Majlis Keselamatan Negara dan menutup Biro Tata Negara (BTN).

Zahid mengulas kenyataan Kementerian Pengangkutan Singapura yang menafikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamad Azmin Ali ada bertemu pegawai kanan republik itu mengenai projek HSR.

Ketika ditemui pemberita petang tadi, Azmin berkata dia tidak pernah berkata dia bertemu pegawai kementerian, tetapi “Singaporean”.