Menteri: Datuk bandar DBKL perlu dipilih melalui pilihan raya PBT

Khalid Samad berkata bagi membezakan pilihan raya umum dengan pilihan raya PBT, perbandingan akan dibuat dengan negara yang melaksanakan pilihan raya PBT.

KUALA LUMPUR: Datuk bandar bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu dipilih secara terus melalui pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata pemilihan secara terus itu termasuk ahli majlis PBT supaya tidak ada lagi arahan dikeluar oleh satu pihak dan hanya mengikut telunjuk satu pihak sahaja.

“Pandangan saya sacara peribadi, saya lebih berminat supaya datuk bandar dipilih secara terus dan pada masa sama, ahli majlis boleh turun atas nama parti atau gabungan, NGO untuk menawarkan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

“Struktur DBKL itu perlu diubahsuai kerana sekarang ini apabila datuk bandar dilantik, semua pegawai bawahan mengikut arahannya.

“Apabila datuk bandar dipilih, ahli majlis dipilih, maka kuasa dan peranan masing-masing akan berubah,” katanya menjawab pertanyaan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) supaya kerajaan melakukan pilihan raya DBKL lebih awal.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, bagi memastikan pilihan raya PBT boleh dilaksanakan, suatu pindaan perlembagaan perlu dibuat terlebih dahulu dan ia memerlukan masa.

“Pengamalan pilihan raya PBT memerlukan beberapa pindaan perundangan dan pengstrukturan kembali PBT itu sendiri, ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tetapi perlu melakukan kajian menyeluruh ke atasnya.

“Satu bengkel akan dibentuk di peringkat kementerian dan bengkel ini diterajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Bengkel ini dinamakan bengkel kajian semula pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Maka pilihan raya PBT boleh dilaksana setelah dilakukan pindaan undang-undang dan persediaan dari segi kewangan serta diputuskan juga daftar pemilih yang akan digunakan.

“Bagi membezakan pilihan raya umum dengan pilihan raya PBT, perbandingan akan dibuat dengan negara-negara yang melaksanakan pilihan raya PBT,” katanya.

Pilihan raya PBT merupakan salah satu janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyatakan pilihan raya PBT akan dilaksanakan dalam masa 3 tahun lagi.