Najib selar PH ‘hipokrit’ berhubung isu jual negara kepada China

Najib Razak pelik mengapa projek yang dibuat semasa beliau menjadi perdana menteri dilabel sebagai jual negara tetapi tidak sekarang.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak menyelar kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan “hipokrit” berhubung isu jual negara kepada pelabur swasta dari China yang dimainkan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bekas perdana menteri itu berkata sebelum PRU14, PH menuduhnya menjual negara melalui projek Forest City dan Melaka Gateway, namun kini pakatan itu meneruskan projek tersebut dengan alasan pembangunan negara.

“Saya masih ingat bagaimana Tun Mahathir pernah melawat Forest City sambil menuding jarinya ke papan tanda iklan hartanah hak milik kekal.

“Anaknya Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) pula menuduh saya sebagai satu-satunya PM yang jual tanah hak milik kekal kepada warga asing.

“Tetapi pada 2 Ogos 2018, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar menjawab di Dewan Rakyat bahawa kerajaan PH tiada halangan dan akan terus membenarkan penjualan tanah milik kekal di Forest City, Johor kepada warga asing,” tulisnya di Facebook.

Minggu lalu, Xavier berkata tanah di Forest City boleh dijual kepada orang asing mengikut peraturan yang dikeluarkan dalam Majlis Tanah Negara berkuatkuasa mulai Mac 2014.

Xavier berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hassan Abdul Karim yang ingin tahu pendirian kerajaan berhubung keputusan kerajaan negeri meluluskan untuk memberi tanah “free hold” dan dijual kepada warga asing terutamanya di Forest City, adakah ia bercangah dengan dasar tanah negara.

Mengulas berkenaan projek Melaka Gateway, Najib berkata Dr Mahathir menuduhnya menjual kedaulatan negara kepada pihak asing.

“Dia juga mendakwa kita tidak perlukan projek ini kerana Malaysia sudah miliki banyak pelabuhan dan infrastruktur.

“Kini, saya pelik apabila Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dipetik baru-baru ini sebagai berkata projek pelabuhan Melaka Gateway dan pelabuhan Kuala Linggi (yang juga dilabur oleh pelabur negara China) amat penting untuk pembangunan negeri dan bakal membawa Melaka kembali ke zaman kegemilangan kesultanan Melaka.

“Saya pelik mengapa projek yang dibuat semasa saya menjadi perdana menteri dilabel sebagai jual negara tetapi bila dibuat sekarang, ianya tiba-tiba menjadi projek penting yang boleh membawa Melaka kembali ke zaman kegemilangan kesultanan Melaka,” katanya.

Beliau menambah, projek tersebut juga tidak mengalami apa-apa perubahan dari segi skop projek atau pemegang saham.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/08/02/menteri-warga-asing-boleh-miliki-tanah-free-hold-forest-city/