Nurul Izzah mahu bawa usul kecam Israel ke peringkat antarabangsa

Nurul Izzah Anwar akan memastikan kerajaan akan menyuarakan pendirian di peringkat antarabangsa supaya Israel menamatkan sekatan punitif dan kolektif ke atas Gaza.

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat membawa usul kecaman terhadap kezaliman Israel ekoran insiden penawanan Kapal Al-Awda ketika menjalankan misi kemanusiaan yang turut melibatkan seorang rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata, beliau membawa usul menyuarakan pendirian Malaysia terhadap kekejaman Israel kepada speaker Dewan Rakyat untuk diperbahaskan secara kolektif dengan semua ahli parlimen.

“Saya telah hantar usul kepada dewan, dan saya harap jasa baik kerajaan Malaysia untuk bahaskan usul ini sebagai usul tergempar demi pendirian kita terhadap kezaliman Israel.

“Kita mahukan seluruh ahli parlimen negara ini menyuarakan kecaman kepada pergelutan yang dicetuskan oleh Israel yang jelas sekali melanggar hak asasi dan hidupan penduduk Gaza,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Pada 29 Julai lalu, seorang rakyat Malaysia Dr Mohd Afandi Salleh yang menjadi aktivis Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menyertai misi flotila ke Gaza ditahan dan dipenjarakan secara haram oleh rejim Israel.

Nurul Izzah berkata walaupun Afandi dan rakan-rakan dalam Kapal Al-Awda selamat pulang ke negara masing-masing, misi membebaskan Gaza daripada kepungan Israel perlu diteruskan.

“Halangan yang dihadapi untuk memasuki tembok Gaza tidak seharusnya dilihat sebagai satu kegagalan tetapi sebagai satu usaha berterusan rakyat antarabangsa untuk memecahkan kepungan ke atas Gaza yang berlangsung lebih 11 tahun,” tegasnya.

Izzah berkata beliau akan memastikan kerajaan akan menyuarakan pendirian di peringkat antarabangsa supaya Israel menamatkan sekatan punitif dan kolektif ke atas Gaza yang melumpuhkan ekonomi dan kehidupan penduduk di sana.

Beliau juga berjanji supaya kerajaan mengambil pendirian agar Israel menghormati dan mematuhi peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menjalani kehidupan yang adil dan bermaruah.

“Menyekat Gaza daripada dunia luar bukan jalan menuju keamanan dan pendamaian, sebaliknya kemusnahan dan permusuhan,” katanya.

Sukarelawan pulang ke Malaysia selepas bebas dari penjara Israel