PAS desak PH buktikan tak terima dana, kerjasama dengan badan pemikir AS

Takiyuddin Hassan berkata, jika PH pernah menerima dana politik daripada IRI, mereka perlu menyatakan jumlahnya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan bukti untuk menolak dakwaan mereka bekerjasama dan menerima dana politik daripada sebuah badan pemikir berpangkalan di Washington, Institut Republikan Antarabangsa (IRI).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jika PH tidak membuat penjelasan dan menunjukkan bukti, ia boleh menjejaskan kedaulatan serta keselamatan negara kerana ia membabitkan campur tangan kuasa asing.

“Mereka perlu jelaskan kepada rakyat dengan bukti yang kukuh. Jika mereka benar-benar terlibat, mereka perlu jelaskan berapa jumlah dana yang diterima dari badan itu. Jika tidak, apa pula buktinya?” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Presiden IRI, Daniel Twinning mendakwa IRI bekerjasama dengan parti pembangkang di Malaysia sejak 2002 dan menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau dalam sebuah forum anjuran Center for Strategic & International Studies bulan lepas berkata, Washington mendapat manfaat daripada kerajaan baru di Putrajaya sejak mula lagi.

Beliau turut mendakwa usaha IRI di Malaysia akhirnya membuahkan hasil pada PRU14 lalu dan menguntungkan AS dari segi saingannya dengan China ketika ini.

Tetapi, IRI dalam satu kenyataan hari ini mengkritik laporan FMT semalam dan menegaskan ia adalah organisasi tidak berpihak yang bekerjasama dengan rakan di Malaysia sejak 2002 untuk “mengukuhkan kemampuan parti politik bersaing dalam pilihan raya dan mematuhi amalan tadbir urus berpusatkan rakyat”.

“IRI memberikan sokongan pembangunan kapasiti tidak berpihak kepada parti politik daripada semua spektrum politik dalam bentuk bengkel latihan langsung dan perundingan dengan gabungan PH dan BN.

“Kegiatan ini membabitkan peserta daripada semua spektrum politik serta sosial, dan memasukkan inisiatif direka untuk meningkatkan penyertaan belia dalam bidang politik dan sivik serta memperkukuhkan kemampuan organisasi masyarakat sivil Malaysia.

“Melalui kerja-kerja ini, IRI membantu rakyat Malaysia menyampaikan kebimbangan mereka kepada kerajaan dan pegawai terpilih bertanggungjawab,” katanya sambil menambah ia tidak memberi bantuan kewangan kepada parti politik di Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan kerajaan menggubal akta mengawal kemasukan dana politik demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada campur tangan asing.

“Kita bimbang ada pihak pihak luar mempunyai kepentingan tertentu menyalurkan dana dan kewangan mereka kepada parti-parti politik di Malaysia untuk mencapai hasrat mereka sendiri.

“Draf yang diperlukan untuk mewujudkan akta tersebut sudah ada di Pejabat Perdana Menteri kerana sudah lama kita cadangkan perkara ini.”