Pengambilan Splash bawah nilai pasaran, kata MB

SHAH ALAM: Tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) berjumlah RM2.55 bilion oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) lebih rendah daripada harga pasaran.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, nilai pengambilalihan itu juga lebih rendah daripada jangkaan harga yang dibuat oleh badan penilai bebas antarabangsa.

“Apabila anda buat tawaran yang tidak boleh diterima pada 2013 dan 2014, akhirnya kita terpaksa tangguhkan (proses pengambilalihan) sehingga 5 tahun dan penilaian harga pengambilalihan SPLASH yang sepatutnya antara RM1.9 bilion kepada RM2 bilion meningkat menjadi RM3.5 bilion.

“Sebab itu persetujuan antara pembeli dan penjual ialah penyelesaian yang sangat boleh diterima dan ia berdasarkan situasi menang-menang. Akhirnya selepas rundingan, harga yang kita peroleh di bawah harga pasaran dan di bawah penilaian yang dibuat penilai bebas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan meja bulat Belanjawan 2019 hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini bahawa kerajaan negeri membayar lebih 10 kali ganda untuk pengambilalihan SPLASH berbanding tawaran nilai pengambilalihan ketika pentadbiran beliau pada 2013.

Abdul Khalid mendakwa, strategi itu bakal memberi peluang kepada pemilik saham SPLASH mendapat keuntungan serta pampasan yang berlebihan dan pada masa sama turut meletakkan beban serta tanggungjawab untuk pembayaran tersebut ke atas rakyat dengan mengenakan tarif yang tinggi.

Jelas Amirudin, kerajaan negeri harus objektif dalam misi untuk menyelesaikan penstrukturan air dan memastikan perkhidmatan air di Selangor berada dalam keadaan terbaik.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengkaji semula program air percuma supaya lebih fokus kepada golongan berpendapatan rendah B40, beliau berkata. perkara itu akan dibincangkan dalam “pemukiman” pelaksanaan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Ia bukan sahaja air, selepas 10 tahun, sudah tiba masanya kita kaji semula IPR, tengok dan semak mana yang sesuai, mana yang diterima pakai, mana yang mungkin begitu membebankan kerajaan dan saya akan bentangkan konsep IPR selepas 10 tahun kita laksanakan dalam pembentangan Bajet 2019 November ini,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM500 juta untuk penggantian paip-paip lama dalam tempoh 3 tahun ini.

Menurut beliau, menerusi penggantian paip-paip itu juga kerajaan negeri berjaya mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 33% kepada 30%.

“Dalam tempoh 3 tahun ini, kerajaan negeri menggantikan paip-paip lama sepanjang 400 kilometer daripada panjang keseluruhannya kira-kira 22,000 kilometer dan kita berjaya kurangkan NRW kepada 30%, salah satu pencapaian terbaik untuk kerajaan negeri dan Air Selangor,” katanya.