Rayer desak Annuar tarik balik tuduhan DAP pecah belah Melayu

RSN Rayer menegaskan beliau tidak akan menggunakan perkataan kasar dan sensitif semasa perbahasan kecuali masa perbahasannya diganggu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer hari ini mengarahkan Tan Sri Annuar Musa supaya menarik balik kenyataan yang dibuat semasa berkempen di pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, minggu lalu.

Rayer berkata tuduhan yang dibuat ahli parlimen Ketereh itu sangat berat dan serius kepada DAP jika ia tidak disertakan dengan bukti.

“Beliau kata DAP pecah belahkan Melayu dalam satu video sewaktu kempen di Sungai Kandis. Tuduhan itu berat, awak tahu?

“Saya beri dia masa 24 jam sahaja untuk tarik semula kenyataan terhadap DAP itu. Jika tidak, kami akan ambil tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Rayer juga akan menunggu Annuar menarik semula kenyataan tersebut tanpa mengira medium apa yang digunakan.

Terdahulu, satu klip video tular di media sosial memaparkan Annuar ketika berceramah, berkata DAP adalah punca perpecahan kaum Melayu.

Dalam perkembangan lain, Rayer menegaskan beliau tidak akan sesekali menggunakan perkataan kasar dan sensitif semasa perbahasan kecuali masa perbahasannya diganggu.

“Kadang kala memang saya tidak mahu menggunakannya tapi kelmarin pun saya sedang berbahas apabila diganggu.

“Jika anda tak ganggu saya, saya akan teruskan dengan perbahasan, tidak akan sebut perkataan-perkataan itu. Jadi, biarkan saya berbahas tanpa gangguan,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad dipercayai mencarut sewaktu membantah tindakan Rayer ingin mengulangi perkataan kepala bapak.

Sebelum itu, Rayer bangkit dan mengajukan soalan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkaitan jumlah pelaburan luar di dalam negara.

Bagaimapaun, tindakan Rayer dilihat tidak bersesuaian oleh Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang disifatkannya tidak bertanyakan soalan sewajarnya kepada timbalan menteri.

Ia membangkitkan kemarahan Rayer dan berkata: “Jangan sampai saya guna perkataan kepala bapa sekali lagi.”

Rayer berkata segelintir ahli parlimen pembangkang amat gemar melenting setiap kali kerajaan membangkitkan isu 1MDB di Parlimen.

“Bila kita (kerajaan) sebut isu 1MDB, mula lah mereka nak bangkit mencelah dan timbulkan isu-isu tidak berkenaan.

“Sedangkan isu 1MDB ini sangat penting untuk dibahaskan kerana disebabkan 1MDB negara kehilangan banyak pelabur asing yang datang untuk buat pelaburan,” katanya.

Selepas PH sebut ‘kepala bapak’, BN pula mencarut di Dewan Rakyat

Nga arah RSN Rayer tarik balik ‘kepala bapak’