Tiada masalah 3 beranak jadi wakil rakyat serentak, kata penganalisis

Kamarul Zaman Yusoff berkata kepulangan Anwar Ibrahim ke dalam kabinet akan memantapkan lagi perjalanan kerajaan PH. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tidak menjadi masalah jika 3 beranak daripada keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi ahli parlimen secara serentak, kata penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff.

Beliau berkata demikian susulan isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulungnya Nurul Izzah tidak akan melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat untuk memberi laluan kepada bapa reformasi itu.

Katanya, kemasukan kembali Anwar ke Parlimen tidak menjadikan isu yang menunjukkan pentadbiran negara didominasi keluarga bekas timbalan perdana menteri itu kerana mereka bukannya berada dalam Kabinet secara serentak.

“Tidak ada masalah pun jika ketiga-tiga Anwar, Wan Azizah, Nurul Izzah bergelar ahli parlimen serentak. Bila semua mereka ada merit yang memberi hak kepada mereka menjawat jawatan itu.

“Amalan begini wujud bukan dalam PKR sahaja, tetapi dalam PPBM, DAP, PAS dan Umno juga. Tidak menjadi isu, melainkan jika mereka menjadi menteri pada masa yang sama, mungkin boleh menjejaskan pandangan rakyat. Lagipun tiada larangan mengenainya dalam manifesto Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada FMT.

Semalam, Wan Azizah mengesahkan Anwar akan bertanding bagi kerusi Parlimen, namun belum menetapkan kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan.

Beliau juga tidak akan melepaskan mana-mana jawatan yang sedang disandangnya sekarang bagi memberi laluan kepada suaminya.

Manakala Nurul Izzah pula berjanji tidak akan melepaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-14 lalu kerana beliau komited berkhidmat kepada masyarakat kawasannya sehingga tamat penggal 5 tahun ini.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata kepulangan Anwar ke dalam kabinet akan memantapkan lagi perjalanan kerajaan PH.

“Anwar berupaya memberi input sebagai ‘backbencher’ di Parlimen. Bukan setakat di Parlimen sahaja, malah kalau ikut janji PH sebelum ini, selepas Anwar dibebas beliau hendaklah segera diberi peranan dalam kerajaan sebelum diangkat jadi perdana menteri yang boleh bawa maksud sertai kabinet ini.

“Langkah ini akan pastikan ada kesinambungan dalam kerajaan PH bila Anwar ambil alih jawatan perdana menteri nanti.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/08/06/izzah-permatang-pauh-cinta-abadi-saya-tidak-akan-lepaskan/

Ia susulan Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah tidak akan melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.