Zahid kekal dalam Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat

Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai ahli Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menolak permohonan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menganggotai Jawatankuasa Pemilih atas alasan pemimpin pembangkang itu tidak mengemukakan usul untuk menolak senarai itu.

Beliau berkata, Zahid ada mengemukakan surat untuk menolak pelantikannya sebagai ahli Jawatankuasa Pemilih dan mencadangkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai pengganti.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapati tindakan itu melanggar Peraturan Mesyuarat selepas menelitinya.

“Ia tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 26, 27 dan 30 (3), iaitu mengkehendaki usul dikemukakan bersama satu notis. Justeru, saya tidak membenarkan ia dibangkitkan di dalam dewan ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Disebabkan itu, nama yang dikemukakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikekalkan.

Jawatankuasa Pemilih ditubuhkan hari ini bagi tempoh Parlimen ke-14 yang terdiri daripada seorang pengerusi dan 6 ahli.

Jawatankuasa itu terdiri daripada Ariff sebagai pengerusi, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, Darell Leiking, Tan Kok Wai dan Zahid dilantik sebagai ahli.

Dewan Rakyat turut meluluskan satu lagi usul untuk Datuk Seri Ronald Kiandee dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh seabgai timbalan pengerusinya.

Ronald Kiandee Pakatan Harapan menyatakan PAC yang biasanya dipengerusi ahli Parlimen kerajaan, kini diketuai wakil rakyat pembangkang.

Jawatan itu pada mulanya ditawarkan ke ada Zahid, tetapi beliau menolaknya.

Difahamkan, PAC akan memulakan tugas dengan menyiasat kes berkaitan 1MDB.