Adakah kerajaan akan laksanakan kod etika berpakaian?

Abdul Aziz Abdul Rahman. (Gambar bernama)

PETALING JAYA: Individu yang menerima pemakaian uniform yang dipakai kakitangan Malaysia Airlines menyuarakan keraguan sekiranya kerajaan akan memaksa majikan menerima kod etika berpakaian yang dirangka itu tanpa mendengar pandangan mereka.

Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines System (MAS) dari 1982 hingga 1992 memberitahu FMT, beliau akan menentang pelaksanaan peraturan itu namun beliau percaya Putrajaya akan melaksanakannya sebaik mungkin.

Beliau menyifatkan pentadbiran Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang “waras”.

“Kita perlu melihat garis panduan terlebih dahulu,” katanya. “Jika ada masalah, saya pasti mereka boleh berbincang dengan kerajaan.”

Beliau mengulas pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk mengenakan kod etika berpakaian untuk pekerja wanita Islam di sektor swasta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa dipetik sebagai berkata perhotelan dan syarikat penerbangan adalah antara sektor yang disasarkan dan tujuan kod etika itu adalah untuk menghalang diskriminasi wanita Islam, khususnya untuk isu pakaian dan mengamalkan pegangan agama dalam kehidupan seharian mereka.

Abdul Aziz mendedahkan beliau adalah orang yang bertanggungjawab mereka seragam yang masih digunakan oleh pekerja Malaysia Airlines sehingga hari ini. MAS menjadi Malaysia Airlines pada 2015.

“Saya mengamalkan cara hidup Islam sejak kecil,” katanya. “Saya tidak melanggar mana-mana peraturan Islam.”

“Pada masa yang sama, kita perlu waras dan memahami kita hidup dalam dunia yang kompetitif. Jadi, walaupun saya setuju seragam mesti kelihatan sopan, ia tidak bermakna kita mesti memakai jubah atau menutup diri dari kepala hingga ke kaki.”

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), yang mewakili lebih 5,000 syarikat, berkata pihaknya berharap kerajaan akan berunding dengan majikan dalam merangka mana-mana kod etika yang perlu mereka patuhi.

“Adalah baik bagi majikan untuk memenuhi keperluan pekerja mereka, tetapi ini tidak harus mengikat kerana ia menjadi kod etika, dan bukannya undang-undang,” kata Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan.

“Juga, pekerja wanita Islam harus diberikan pilihan sama ada untuk mematuhi kod etika tersebut.”

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cheah Swee Hee dan Persatuan Pengusaha Hotel Christopher Raj berkata kumpulan mereka tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap sebarang kod etika berpakaian. Mereka menambah pekerja hotel tidak dihalang daripada memakai tudung.

Bagaimanapun, Cheah berkata mana-mana pekerja yang memilih untuk memakai tudung mesti memilih warna yang diluluskan oleh hotel tempat mereka bekerja.

Pelbagai kumpulan hak dan aktivis mengkritik langkah kerajaan sejak Mujahid mengumumkannya.

Menteri: Akhir tahun laksana kod etika pakaian pekerja wanita Islam