‘Al-Fatihah, GST’ selepas Dewan Rakyat lulus usul

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan rang undang-undang memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas 3 tahun dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Speaker Datuk Rashid Hasnon mengumumkan perkara itu selepas RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018 diluluskan.

“Akhirnya, GST sudah mati,” kata Menteri Kewangan Lim Guan sejurus RUU diluluskan, disambut oleh “Al-Fatihah, GST” oleh seorang wakil rakyat.

Kerajaan membentangkan RUU GST (Pemansuhan) 2018 pada 31 Julai lepas, bersama RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018 yang akan membuka laluan kepada pelaksanaan semula sistem percukaian lama, Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST.

Pakatan Harapan berikrar akan memansuhkan GST dalam strategi menewaskan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Hari ini juga Dewan Rakyat meluluskan undang-undang ke-2 berkenaan SST, iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Perkhidmatan 2018. RUU Cukai Jualan 2018 diluluskan semalam.

Kedua-dua undang-undang itu diluluskan ditengah-tengah bantahan hebat blok pembangkang. Kedua-dua SST ini akan dibentangkan di Dewan Negara untuk dibahas para senator.

BN mempunyai 29 orang senator, mengawal majoriti dalam Dewan Negara. PH mempunyai 6 orang senator manakala 16 orang senator daripada parti politik dan pihak berkepentingan lain. Sembilan belas kerusi lain kosong.

Lim dalam ucapan penggulungannya berkata kerajaan tidak dapat menjamin harga barang tidak akan naik selepas SST dilaksanakan.

Pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun percaya kesan kenaikan itu tidak setinggi kesan GST, katanya.