Balik kampung kalau nak bertinju, Bung beritahu Willie

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menegur wakil rakyat PKR, Willie Mongin selepas Ahli Parlimen Puncak Borneo itu berkata dia sedia berlawan satu lawan satu di gelanggang.

“Kalau nak berlawan tak payah jadi wakil rakyatlah,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

“Kalau tidak pun, kalau dia biasa bertinju di kampung, baliklah bertinju di sana,” katanya.

Beliau berkata Willie masih muda dan perlu belajar etika dan peraturan Dewan Rakyat untuk menjadi seorang wakil rakyat yang berkesan.

“Semua ada dalam buku itu tentang apa yang boleh dan tak boleh kita katakan,” katanya.

Bung Moktar juga memberitahu FMT dia pernah belajar silat dan karate jika ada pihak mahu mencederakannya.

Semalam, tindakan Willie semasa Bung Moktar bercakap tentang harga barangan di pasar borong Selayang mengundang kemarahan wakil rakyat 5 penggal itu.

Ketika Bung berucap, Willie mencelah dan bertanyakan sama ada Bung Moktar pergi ke barang borong Selayang atau ke kasino.

Bung membidas Willie sebagai biadab dan bertanyakan sama ada wakil rakyat PKR itu mahu mencari gaduh.

“F*** you! Kau salah orang,” kata Bung tanpa dipastikan ia dituju kepada wakil rakyat mana.

Pada hari yang sama, Willie menulis di Twitter tentang “cabaran” wakil rakyat BN itu.

“Terlalu banyak kesilapan Kinabatangan di Parlimen, jika dia bertegas mahu bergaduh, saya terima cabarannya untuk 1 lawan 1 di gelanggang.

“Belum cuba belum tahu…Cuma beritahu tarikh dan masa Bung Moktar,” katanya di Twitter semalam.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/08/07/bung-moktar-tarik-balik-perkataan-f-you-akui-kurang-sopan/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/08/07/dewan-rakyat-kecoh-lagi-bung-moktar-sebut-f-you/