Bekas menteri saran SST sehingga 30% bagi ‘tempat tak berfaedah’

Ahmad Maslan mempersoalkan kenapa kasino, kedai loteri, pusat perjudian dan kelab malam hanya mengenakan cukai perkhidmatan 6%. (Gambar Youtube)

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan menteri, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30% bagi pengusaha pusat hiburan dan “tempat tidak berfaedah”.

“Kasino, kedai loteri, pusat perjudian dan kelab malam hanya dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6%. Kenapa hanya 6%? Sepatutnya boleh kenakan lebih daripada itu.

“Tempat pertaruhan judi saya cadangkan 20% hingga 30% cukai perkhidmatan supaya orang tidak pergi ke situ, kalau boleh tutup terus,” katanya selepas Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 dibentangkan untuk bacaan kali ke-2 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu membandingkan restoran francais yang melaksanakan 6% cukai perkhidmatan dan 10% cukai jualan selepas 1 September ini.

“Kalau kita ke KFC, mereka akan kenakan 6% cukai perkhidmatan. Sekarang ini KFC memang tidak kena apa-apa cukai.

“Sebahagian makanan dan minuman dalam restoran sudah ada 10% cukai jualan, jadi 10% tambah 6% itu kita sebut SST.”