Bekas timbalan menteri: Tutup ‘pusat keamanan’ boleh jejas perjanjian Aramco

Asyraf Wajdi Dusuki berharap kerajaan PH dapat mengambil pendekatan lebih berdiplomasi dan berhikmah dengan menghantar delegasi untuk menghadap Raja Arab Saudi bagi menyuarakan hasrat kerajaan.

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) boleh menjejaskan usahasama ekonomi berskala besar seperti pelaburan RM31 bilion Saudi Aramco dalam projek Rapid Petronas di Pengerang, Johor.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, projek itu mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan menjadikan Malaysia hub petrokimia terpenting di rantau ini.

“Keputusan yang dibuat secara unilateral tanpa perbincangan dua hala dengan pihak kerajaan Arab Saudi dibimbangi boleh menjejaskan hubungan akrab Malaysia-Arab Saudi yang lama terjalin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengumumkan operasi KSCIP di pejabat sementara di Jalan Ampang, Kuala Lumpur ditutup serta-merta.

Katanya, fungsi KSCIP diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di bawah Kementerian Pertahanan.

Semalam, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Riyadh akan terkilan dengan tindakan Putrajaya menghentikan operasi KSCIP dan penutupan itu bermakna Malaysia menolak bantuan Saudi dalam kempen memerangi fahaman pelampau serta militan.

Asyraf berkata, hubungan akrab Malaysia dan Saudi melalui kebijaksanaan kerajaan terdahulu memberikan banyak kelebihan kepada rakyat, khasnya dalam hal ehwal pengurusan haji.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, kuota haji Malaysia ditambah sehingga 30,000, antara kuota tambahan terbesar.

“Hasil hubungan akrab 2 negara ini juga segala kemudahan dan keistimewaan dinikmati jemaah haji Malaysia tahun ini, termasuklah kemudahan khemah berhawa dingin di Arafah dan perkhidmatan perlepasan segera kepada jemaah haji yang tiba di Lapangan Terbang Jeddah dan Madinah tanpa perlu menunggu lama.”

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan PH dapat mengambil pendekatan lebih berdiplomasi dan berhikmah dengan menghantar delegasi untuk menghadap Raja Arab Saudi bagi menyuarakan hasrat kerajaan.

“Ini sekaligus memastikan hubungan akrab Malaysia-Arab Saudi terpelihara dan rakyat dapat terus menikmati natijah positif daripada hubungan ini.”