Bincang penglibatan Najib dalam kempen, kata Umno Selangor

Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno Selangor hari ini mencadangkan parti membincangkan penglibatan Datuk Seri Najib Razak dalam kempen selepas ini, selepas kehadirannya pada pilihan raya kecil baru-baru ini menjadi pertikaian ahli.

Timbalan Pengerusi Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata Umno perlu membincangkan bentuk kempen yang boleh menarik minat rakyat secara teliti dan mendalam.

“Tuding jari sana sini sangat subjektif. Kita tidak ada hitam putih yang mengatakan orang ini datang membawa kekalahan, orang itu datang membawa kemenangan dan sebagainya.

“Jadi elok kita perincikan dan kita analisis betul-betul dengan tepat baru kita buat rumusan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai Ketua Umno Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani mempersoalkan keputusan parti menurunkan Datuk Seri Najib Razak ke Sungai Kandis untuk berkempen dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.

Johari berkata Umno mungkin perlu merehatkan Najib pada pilihan raya kecil akan datang memandangkan bekas perdana menteri itu berdepan perbicaraan kes salah guna kuasa dan pecah amanah berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

PRK Seri Setia dan Balakong akan diadakan pada 8 September.

Mengulas lanjut, Mat Nadzari berkata kemungkinan Johari mempunyai maklumat yang menyebabkan dia berkata demikian.

“Tetapi saya tidak berani nak buat sebarang kesimpulan selagi kita tidak menganalisis dan meneliti perkara itu,” katanya.