Isu Iksim: Saya tak buat kenyataan tanpa bukti, kata Mujahid

Mujahid Yusof Rawa berjanji tidak akan membuat kenyataan lanjut untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa mempertahankan diri daripada dakwaan beliau memfitnah sebuah badan pemikir berkaitan kerajaan, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim).

Beliau merujuk pengumumannya kelmarin yang Putrajaya menyekat semua dana dan aktiviti anjuran Iksim serta-merta selepas audit dalaman Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mendapati wujud penyalahgunaan kuasa serta pengurusan dana tidak telus.

Mujahid berkata, beliau tidak akan membuat kenyataan tanpa sebarang bukti dan bertanggungjawab terhadap apa yang dikatakannya.

“Saya tidak akan bercakap, kalau benda itu tiada bukti.

“Orang kalau kita dah londehkan seluar dia, manalah dia nak mengaku?

“Serahkan pada pihak berkuasa (untuk siasat)…saya bertanggungjawab terhadap apa yang saya kata,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Kelmarin, Mujahid dilaporkan berkata, hanya RM200,000 daripada RM7.6 juta yang diberikan kepada Iksim direkodkan penggunaannya dalam laporan mereka.

“MAIWP antara yang membiayai program tersebut kerana ianya bagus, tetapi malangnya daripada audit dalaman MAIWP sendiri (mendapati wujud ketidaktelusan dan mereka) tidak diberikan lagi lebihan (dana) yang dijanjikan itu.”

Susulan itu, Iksim semalam mendakwa kenyataan Mujahid mengenai hasil audit dalaman ke atasnya bersifat fitnah kerana pasukan audit dalaman MAIWP bukan juruaudit bertauliah.

“Dapatan mereka masih bersifat separuh masak kerana belum dijalankan ‘exit conference’,” kata Iksim merujuk mesyuarat akhir bertujuan menyampaikan keputusan audit kepada pihak pengurusan dan mendapatkan komen mengenai penemuan dan cadangan sebelum draf laporan audit dikeluarkan.

Iksim berkata, mereka memberi kerjasama penuh kepada pasukan audit dalaman terbabit dan masih menunggu “exit conference” yang ditangguhkan 3 kali oleh MAIWP.

Iksim ialah sebuah institut yang bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan penubuhannya diluluskan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), Jakim, MAIWP dan Majlis Agama Islam Negeri.