Jangan pulau Najib, dia pernah berbakti, Zahid beritahu ahli

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi meminta ahli untuk tidak memulaukan Datuk Seri Najib Razak kerana dia pernah berbakti kepada parti dan negara.

Zahid berkata dia tidak akan menyekat Najib membantu parti dalam kempen pilihan raya kecil walaupun bekas perdana menteri itu “tersilap langkah” dalam perjalanan politiknya.

“Janganlah kita memijak kepala individu yang sudah berada dalam keadaan seperti tengkuk di bawah pinggang,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mempersoalkan keputusan parti menurunkan Najib Razak ke Sungai Kandis untuk berkempen pada pilihan raya kecil baru-baru ini.

Johari berkata memandangkan Najib berdepan perbicaraan kes salah guna kuasa dan pecah amanah, kehadirannya mungkin boleh mempengaruhi persepsi pengundi.

Zahid hari ini menyeru ahli supaya kekalkan ikatan ahli “biarkan kita tidak setuju dengan beberapa langkah yang dilakukan seseorang”.

Beliau bagaimanapun berkata kehadiran Najib bukan atas arahan mana-mana pemimpin parti.

“Najib hadir ke sana atas undangan calon Barisan Nasional,” katanya, merujuk kepada Datuk Lokman Noor Adam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim secara dasarnya bersetuju dengan Johari.

“Tetapi pihak parti seperti presiden perlulah maklumkan awal-awal atau memaklumkan kepada pasukan strategi bahawa segelintir pemimpin tidak patut hadir di majlis-majlis tertentu,” katanya.

Johari: Mengapa turunkan Najib ke Sg Kandis?