Johari: Mengapa turunkan Najib ke Sg Kandis?

Johari berkata parti perlu tetapkan tanda aras tersendiri daripada mencontohi parti lain. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ketua Umno bahagian mempersoalkan keputusan parti menurunkan Datuk Seri Najib Razak ke Sungai Kandis untuk berkempen dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.

Ketua Umno Tititwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Umno mungkin perlu merehatkan Najib pada pilihan raya kecil akan datang memandangkan bekas perdana menteri itu berdepan perbicaraan kes salah guna kuasa dan pecah amanah berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

PRK Seri Setia dan Balakong akan diadakan pada 8 September.

“Kita perlu ingat bahawa UMNO bukan berkempen untuk ahli-ahlinya sahaja tetapi kepada pengundi Sungai Kandis yang mana soal persepsi boleh menentukan kalah menang seseorang calon,” kata bekas menteri kewangan II itu dalam kenyataan.

Johari berkata Umno tidak patut mewajarkan kehadiran bekas presiden parti itu di Sungai Kandis dengan membandingkan Najib kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang sudah didakwa atas tuduhan korupsi.

Beliau berkata Umno tidak perlu mencontohi DAP.

“Kita perlu letakkan tanda aras ini kepada setiap pemimpin bagi memulangkan keyakinan pengundi bahawa Umno mempunyai tanda aras yang tinggi mengatasi DAP.”

Johari juga mengkritik pakatan antara PAS dan Umno, mengatakan pakatan itu tidak membantu mereka memenangi lebih banyak undi.

Beliau berkata pada PRK 9 Mei lepas, Umno di Sungai Kandis peroleh 11,518 undi walaupun dalam pertandingan 4 penjuru.

Pada PRK baru-baru ini, Umno sekadar peroleh 9,583 undi.

“Walau apa sahaja yang kita kata untuk menyedapkan hati, pokok pangkalnya kita kalah. Kita kalah dengan jumlah undi yang lebih rendah selepas berpakat dengan PAS.”

Johari berkata Umno sepatutnya kekal sebgai parti kebangsaan yang mengambil kira bukan sahaja kepentingan orang Melayu tetapi juga semua kaum.

Beliau menyorot perhatian kepada ucapan dalam kalangan pemimpin Umno yang mengguris hati orang-orang bukan Melayu.

“Mereka ini barangkali boleh berbangga dengan menang di kawasan masing-masing, sedangkan ucapan-ucapan ini menyebabkan ramai rakan-rakan seperjuangan ‘terkorban’ di kawasan bandar dalam pilihan raya yang lepas.”