Marina minta penganjur pameran turunkan portretnya

Portret Marina Mahathir (papan tengah) dipampang bersama gambar orang-orang terkenal di pameran ‘Strikes and Strokes”.

PETALING JAYA: Selepas portret aktivis LGBT diturunkan di pameran tentang patriotisme rakyat Malaysia, Marina Mahathir berkata dia bersolidariti dengan mereka dan meminta penganjur menurunkan portretnya.

“Saya minta gambar saya diturunkan kerana solidariti dengan Pang dan Nisha,” katanya hari ini.

Beliau merujuk kepada Nisya Ayub dan Pang Khee Teik, yang gambar mereka diturunkan di pameran fotografi “Strikes and Strokes”. Pameran ini salah satu acara Festival George Town.

“Saya sangat berdukacita dengan apa yang berlaku. Inilah bukti diskriminasi apabila orang mengadu LGBT dilayan seperti rakyat kelas kedua,” kata Marina.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa mempertahankan penurunan portret itu, mengatakan tindakan itu wajar kerana selaras dengan dasar Putrajaya untuk mempromosikan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender.

Penulis, Faisal Tehrani bagaimanapun mengkritik Mujahid, mengatakan menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam itu sepatutnya tumpu pada perkara-perkara lain yang lebih penting.

“Contohnya, rasuah dalam institusi Islam atau pencabulan hak asasi manusia golongan minoriti dalam Islam. Isu-isu itu perlukan perhatian mendesak,” katanya.

Faisal mempersoalkan penurunan gambar itu, mengatakan penyataan simbolik tidak dilarang seperti larangan ke atas simbol IS.

“Bagi ramai orang dalam komuniti LGBT, pelangi sebahagian daripada identiti mereka, dan menyatakan asas identiti itu bukanlah satu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata reformis Islam mempunyai pendekatan berbeza mengenai komuniti LGBT antaranya memastikan mereka dilayan secara sama rata, walapun Islam mempunyai pendirian yang kuat terhadap homoseksualiti.

“Saya pernah mendekati topik LGBT dan membentangkan topik itu dalam novel saya, Profesor, dan saya ingin menghadiahkan senaskah jika saya bertemu beliau,” kata Faisal.

Novel yang ditulis Faisal pernah mengundang kontroversi dan 7 karyanya diharamkan.