MTUC gesa kerajaan bantu 62% rakyat tak dapat perlindungan sosial

Abdul Halim Mansor bimbang jika berlaku kemalangan sehingga menyebabkan kematian atau hilang keupayaan fizikal, waris mereka akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mencari jalan membantu 62% daripada 22 juta rakyat Malaysia yang tidak mendapat sebarang perlindungan sosial, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, golongan itu sukar mendapat perlindungan sosial kerana mereka bekerja sendiri dan tergolong dalam kategori pekerja tidak “organised”.

Beliau bimbang jika berlaku kemalangan sehingga menyebabkan kematian atau hilang keupayaan fizikal, waris mereka akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan.

“Yang menjadi masalah ialah keluarga…keluarga hilang punca kerana tidak ada apa-apa wang perlindungan,” katanya kepada FMT hari ini.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, 62% daripada 22 juta rakyat Malaysia dalam kumpulan umur bekerja, bekerja sendiri dan tidak dilindungi sebarang perlindungan sosial secara formal.

“Ini merupakan hakikat yang menyedihkan memandangkan ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan. Sebagai agensi perlindungan sosial, ini sangat membimbangkan kami.

“Perangkaan terkini menunjukkan lebih 70% rakyat Malaysia tidak mempunyai tabungan bagi menampung perbelanjaan ketika berlaku kecemasan,” katanya hari ini sambil menambah golongan yang tidak mendapat perlindungan sosial itu berusia 16 hingga 60 tahun.

Halim berkata, antara mereka yang tidak mempunyai perlindungan sosial itu ialah individu bekerja dalam sektor pertanian, perladangan dan perikanan.

“…mereka ini semuanya pekerja swasta tapi tidak berdaftar,” katanya yang mencadangkan golongan itu berdaftar dengan Perkeso untuk mendapat perlindungan keselamatan sosial.