Pengurus akan dilantik untuk urus Equanimity, kata peguam

PELABUHAN KLANG: Peguam Jeremy Joseph yang mewakili 1MDB berkata pengurus kapal yang berkelayakan dan kompeten akan dilantik dalam masa terdekat untuk menguruskan kapal pesiaran mewah Equanimity sepanjang tempoh penyitaan di Pelabuhan Klang.

Beliau berkata seorang pengurus keselamatan diperlukan untuk menjaga keperluan kapten dan 17 kru kapal itu, yang tiba semalam.

“Yang penting sekarang ialah memastikan kita melantik seorang pengurus kapal yang berkelayakan dan kompeten (syarikat) untuk menguruskan kapal tersebut semasa tempoh penyitaan.

“Kita juga mahu aspek keselamatan kapal tersebut diperketatkan semasa ia berlabuh di terminal Boustead Cruise Centre,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat selama 2 jam dengan wakil polis dan tentera laut Malaysia di terminal Boustead Cruise Centre hari ini.

Equanimity, dilaporkan bernilai RM1 bilion, tiba semalam dan dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana dari 1MDB.

Ahli perniagaan Low Taek Jho, yang dikatakan pemilik kapal mewah itu, sedang diburu pihak berkuasa untuk membantu siasatan terhadap 1MDB.

Joseph berkata pelantikan pengurus kapal akan dilakukan melalui proses mahkamah apabila “sheriff of the Admiralty court” akan membuat keputusan muktamad mengenai perkara itu.

Beliau juga berkata Equanimity akan dijual melalui proses mahkamah yang dikenali sebagai jualan kehakiman kepada pembida yang menawarkan harga tertinggi.

“Kita tidak mahu menyimpan kapal gtersebut terlalu lama kerana semakin lama anda menyimpannya, lebih banyak nilainyan akan menyusut,” kata beliau.

Joseph sebahagian daripada pasukan 6 orang peguam diketuai oleh Sitpal Selvaratnam, yang dilantik oleh Jabatan Peguam Negara, untuk memulakan saman Admiralty In Rem, sebaik sahaja Equanimity berlabuh di terminal itu semalam.