PKR sediakan 600 tablet untuk pemilihan, kata jawatankuasa

Ismail (baju hitam) dan Alvin menunjukkan peranti dan aplikasi e-undi kepada pemberita.

PETALING JAYA: PKR menyediakan 600 tablet untuk digunakan dalam pemilihan parti yang dilakukan secara elektronik, kata jawatankuasa pemilihan parti itu hari ini.

Setiausaha Ismail Yusof berkata tablet dibekalkan oleh sebuah syarikat bebas yang membangunkan aplikasi e-undi untuk PKR.

“Biro politik juga setuju meluluskan 100 lagi tablet kalau peratusan mengundi tinggi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Jawatankuasa pemilihan hari ini membawa pemberita menyaksikan simulasi pengundian secara elektronik yang pertama kali diperkenalkan PKR pada pemilihan tahun ini.

Simulasi itu menggunakan peranti berjenama Samsung.

Seramai 800,000 ahli akan memilih pemimpin secara langsung melalui pengundian yang akan dilakukan pada hari-hari tertentu yang ditetapkan mengikut negeri.

Menurut Ismail, tablet akan diletakkan di pusat-pusat mengundi setiap bahagian di mana pemilihan sedang berlangsung.

PKR mempunyai 218 bahagian di seluruh negara. Pemilihan dijadualkan berlangsung dari 14 September hingga 13 Oktober.

Saf kepimpinan baharu akan diumumkan di Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung pada 16 November.

Ketua Sistem dan Data Alvin Teoh berkata syarikat pembekal tablet dan aplikasi e-undi itu pernah membantu dan terbabit dalam beberapa projek PKR sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Adzman Hedra berkata jawatankuasa mengambil masa hampir setahun memastikan kelancaran aplikasi e-undi, termasuk soal ketirisan, keselamatan data, dan kepantasan dan ketepatan kiraan undi.

“Apabila ahli datang mengundi, mereka akan diberikan kod QR selepas mempamerkan kad pengenalan,” katanya.

Jawatankuasa juga mengumumkan auditor luar akan dilantik untuk memantau pengekodan dan proses perjalanan pemilihan.