Potret LGBT diturunkan kerana langgar polisi, kata menteri

Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan tidak masuk campur urusan LGBT tetapi bertindak jika melanggar polisi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mujahid Yusof Rawa menegaskan pihaknya tidak mengarahkan penurunan potret Festival George Town di Pulau Pinang yang dikatakan berunsurkan lesbian, gay, biseksual dan trangender (LGBT).

Sebaliknya beliau berkata, gambar itu diturunkan kerana melanggar polisi yang ditetapkan di mana ia seolah-olah mempromosi budaya LGBT.

“Pegawai kita sudah hubungi pengajur dan kita minta mereka gunakan ikon lain yang tidak mempromosikan budaya LGBT.

“Jika benar mereka tidak mempromosikan LGBT, mengapa tidak boleh tukar ikon lain?,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, 2 potret yang digunakan untuk Festival George Town diarahkan diturunkan daripada pameran kerana dianggap mengukuhkan idealogi dan budaya LGBT.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata pihaknya tidak berminat untuk masuk campur urusan peribadi rakyat tetapi hanya mengambil berat jika ia melanggar polisi dan undang-undang negara.

“Kita dah ulang berapa kali, kita memang tak akan masuk campur urusan mereka sama ada LGBT atau tidak.

“Apa yang menjadi perhatian kita, jika mereka sesekali melanggar undang-undang dan menyakiti perasaan orang lain, kita kena ambil tindakan,” katanya.

Penang govt surprised after posters of LGBT activists taken down