PRK Seri Setia, Balakong pada 8 September

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong akan diadakan serentak pada 8 September ini.

Hari pencalonan ditetapkan pada 18 Ogos dan hari pengundian awal pada 4 September untuk kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata parti politik mempunyai tempoh berkempen selama 21 hari untuk kedua-dua PRK.

“Sebanyak RM1.59 juta diperlukan bagi urusan pengendalian PRK ini,” katanya selepas mesyuarat khas PRK itu di ibu pejabat SPR hari ini.

Kerusi Balakong kosong selepas Adunnya, Ng Tien Chee maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Ng mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Lim Chin Wah dan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.

Kerusi DUN Seri Setia pula kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat kanser kolon pada 2 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi, selepas mengalahkan calon BN, Datuk Yusoff HM Haniff yang memperolehi 9,878 undi, calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, Dr S Vignes (217).