Projek pembangunan awam kerajaan negeri, PBT dikecualikan SST

Lim Guan Eng berkata, pengecualian itu mampu menjimatkan kos sangat besar buat kerajaan negeri dan PBT. (Gambar Youtube)

KUALA LUMPUR: Semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk setiap projek pembangunan bagi kegunaan awam, kata menteri kewangan.

Lim Guan Eng berkata, langkah itu mampu menjimatkan kos sangat besar buat kerajaan negeri dan PBT, berbanding ketika pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) di mana mereka perlu membayar cukai 6% untuk sebarang projek pembangunan.

Katanya, ada kerajaan negeri yang terpaksa membatalkan sesetengah projek pembangunan kerana tidak mampu membayar GST 6%.

“Contohnya, kita buat projek di Pulau Pinang bernilai RM2 bilion, maknanya 6% berapa? RM120 juta, ini adalah satu beban kepada kerajaan negeri.

“Semasa GST, kerajaan negeri perlu membayar cukai 6% untuk menjalankan sebarang projek seperti menyewa dewan, membuat jalan, longkang, semua kena bayar (GST),” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang (RUU) Cukai Perkhidmatan 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Lim turut menafikan dakwaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang kad prabayar telefon bimbit bakal dikenakan SST mulai 1 September ini.

Sementara itu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Cukai Perkhidmatan 2018, walaupun mendapat bantahan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

RUU itu bertujuan membolehkan pelaksanaan semula SST diluluskan Dewan Rakyat tanpa pindaan, selepas RUU Cukai Jualan 2018 diluluskan semalam.

Lim dalam ucapan penggulungannya berkata, kerajaan tidak dapat menjamin tiada kenaikan harga barang selepas SST dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau percaya kesan SST hanya separuh daripada GST.

Terdahulu, Lim berkata, jumlah barang dan perkhidmatan yang dikecualikan SST 10 kali ganda lebih besar dan sebanyak RM17 bilion dari segi kutipan cukai dijangka dipulangkan kerajaan kepada rakyat pada tahun ini.

Beliau ketika membentangkan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 bagi bacaan kali ke-2 berkata, SST juga hanya akan dikenakan kepada 43.5% perkhidmatan pada kadar 6% mulai bulan depan berbanding 64.8% ketika pelaksanaan GST.

Katanya, beberapa penambahbaikan kepada model dan skop sedia ada perlu dibuat bagi memudahkan pentadbiran cukai, mengurangkan kos perniagaan dan kelemahan dalam sistem cukai seperingkat.

Antara penambahbaikan itu ialah nilai ambang jualan tahunan atau had jualan perniagaan untuk pendaftaran SST yang akan diseragamkan kepada RM500,000 setahun bagi semua perkhidmatan bercukai.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan kelonggaran diberikan kepada restoran dengan jualan tahunan mencecah RM1 juta setahun.

Katanya, cukai perkhidmatan bagi kad kredit dan kad caj akan dikenakan pada kadar RM25 setahun bagi kad utama serta tambahan.

Lim berkata, beberapa perkhidmatan baru akan dikenakan cukai perkhidmatan 6%, termasuk aktiviti loteri dan nombor ramalan, kelab, kasino, lumba kuda, perkhidmatan teknologi maklumat, penerbangan dan sewa pesawat, termasuk helikopter.

Katanya, SST turut diperluaskan ke atas semua jenis perkhidmatan dalam kelab malam, kelab persendirian, kelab golf, perkhidmatan sewa pandu dan semua bentuk perkhidmatan telekomunikasi.