Putrajaya setuju beri Kedah sumbangan khas tahunan RM10 juta

Lim Guan Eng berkata, bayaran khas RM10,000 setiap tahun kepada kerajaan Kedah turut diteruskan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. (Gambar Youtube)

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan kerajaan persekutuan bersetuju memberi bayaran sumbangan khas kepada Kedah pada kadar RM10 juta setahun, mulai tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu diambil susulan hasrat disuarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan Majlis Kewangan Negara untuk 2018 pada 7 Jun lepas, supaya kerajaan persekutuan mengkaji semula pemberian khas bernilai RM10,000 setahun sebagai nilai pajakan tanah Pulau Pinang.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (PH-Jerlun) sama ada kerajaan persekutuan bersetuju mengkaji nilai pajakan tanah Pulau Pinang yang dilihat sudah tidak bersesuaian dengan nilai hartanah semasa, atau kerajaan persekutuan mahu memberikan pampasan kepada kerajaan Kedah.

Katanya, kadar sumbangan tersebut akan disemak semula setiap 10 tahun sekali atau dalam jangka masa yang difikirkan sesuai.

Lim berkata, bayaran khas RM10,000 setiap tahun kepada kerajaan Kedah tetap diteruskan.

“Perlu dinyatakan bayaran ini telah termaktub dalam Perkara 167 (7) Perlembagaan Persekutuan, iaitu persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan yang sama sebagaimana dibuat sebelum merdeka di bawah Perkara II Triti pada 6 Mei 1869 antara baginda ratu pada satu pihak dengan raja Siam pada satu pihak yang satu lagi berkenaan dengan Kedah.”

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mukhriz mengenai tumpuan kepada pembangunan industri di Kedah, Lim berkata, kerajaan persekutuan akan memberi perhatian ke atas permintaan itu memandangkan Kedah amat penting dalam menyumbang kepada jaminan bekalan makanan negara, khususnya beras.

“Sebab itulah penekanan sentiasa diberi terhadap pembangunan di Kedah. Lebih-lebih lagi apabila kita ada negeri yang sehala dan seiring dengan kerajaan persekutuan,” katanya.