RUU mansuh akta berita palsu dibentang di Dewan Rakyat

Liew Vui Keong membentangkan RUU Anti-berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang mengandungi 2 fasal itu bagi bacaan kali pertama.

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang untuk memansuhkan Akta Anti-berita Tidak Benar dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong membentangkan RUU Anti-berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang mengandungi 2 fasal itu bagi bacaan kali pertama.

RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi pemansuhan akta itu disebabkan perubahan dasar kerajaan yang berita tidak benar boleh ditangani di bawah undang-undang sedia ada, seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

RUU itu juga menyatakan sebarang penyiasatan, pendakwaan atau prosiding berhubung kesalahan yang belum selesai di bawah akta yang dimansuhkan, boleh diteruskan seolah-oleh akta itu masih berkuatkuasa.

Sementara itu, Kementerian Kewangan membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 juga bagi bacaan kali pertama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan RUU itu untuk pengeluaran sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan sebanyak RM3,065,113,896 bagi tahun ini.

Ia susulan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baru dan pembubaran sebuah kementerian selepas pilihan raya umum ke-14.

Melalui RUU itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dicadang mendapat peruntukan tertinggi berjumlah RM1.29 bilion, diikuti perkhidmatan am perbendaharaan (RM448 juta); Kementerian Dalam Negeri (RM225.84 juta); Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (RM190.3 juta) serta Pendidikan (RM181.8 juta).