Senator pro lobi senjata ketuai senarai VIP badan AS berkaitan ahli politik Malaysia

KUALA LUMPUR: Institut Republikan Antarabangsa (IRI) salah satu daripada pertubuhan asing yang menjadi perhatian kerana penglibatannya dalam politik Malaysia. Badan pemikir ini berpusat di Washington dan mendapat dana daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat, antara lainnya.

IRI baru-baru ini menafikan laporan FMT yang memetik presidennya, Daniel Twining sebagai berkata mereka bekerjasama dengan parti-parti pembangkang di Malaysia sejak 2002, yang memainkan peranan dalam kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Daniel membuat dakwaan itu di satu forum bulan lalu.

Badan pemikir itu segera menafikannya dan berkata aktiviti IRI di Malaysia merentasi kepartian, dakwaan yang disahkan oleh ahli politik BN dan Pakatan Harapan.

Di laman web IRI, tidak jelas siapa pengerusinya.

Ketika laporan ini ditulis, halaman FAQ di laman itu menyenaraikan Senator John McCain sebagai pengerusinya, tetapi halaman lain menyenaraikan Senator Dan Sullivan di teratas senarai 30 orang berpengaruh termasuk ahli politik dan pegawai kanan kerajaan, kebanyakannya penyokong Republikan yang pernah memegang jawatan kanan perisikan dan ketenteraan.

Di AS, Sullivan terkenal dengan pendirian politik aliran kanan, serta pandangan konservatif mengenai undang-undang senjata api, pengguguran dan perkahwinan sejenis – isu-isu yang mentakrifkan kesungguhan seorang ahli politik kepada “kebebasan”, laungan perang pertubuhan seperti IRI dan badan-badan lain yang beroperasi di seluruh dunia.

Sullivan, sepertimana sebahagian besar ahli lembaga pengarah IRI lain, terpilih sebagai senator atas sokongan kuat golongan konservatif, termasuk “Club For Growth”, satu kumpulan pendesak yang berpangkalan di Washington dan mendanai calon-calon yang menyokong dasar-dasar ekonomi konservatif, iaitu yang diperjuangkan oleh ahli-ahli politik Republikan.

Begitu kuat sokongan Sullivan kepada lobi kumpulan pendesak senjata api sehinggakan dia diberi penarafan “A” oleh Persatuan Senapang Kebangsaan (NRA). Badan itu menentang semua cubaan untuk menyekat pemilikan senjata api walaupun selepas ratusan orang terbunuh akibat keganasan bersenjata, termasuk pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak bersekolah.

Pada 2014, bekas peguam negeri ini muncul dalam iklan komersial pro-senjata yang ditujukan terhadap Senator Mark Begich, seorang senator anti-senjata dari parti Demokrat, dalam merebut jawatan senator Alaska.

Iklan itu berakhir dengan gambar Sullivan membantu anak perempuannya melaraskan senapang.

Banyak pandangan Sullivan nampak tidak kena dengan agenda hak asasi manusia dan demokrasi yang diperjuangkan IRI serta pertubuhan lain sepertinya yang mahu memperkasa aktivis demokrasi serata dunia.

Antaranya beliau pernah membantah pengampunan diberikan kepada pendatang tanpa izin di AS, antara dasar-dasar pentadbiran Presiden Donald Trump yang dikecam kumpulan-kumpulan hak asasi manusia di sana.

Walaupun Sullivan tidak menyokong Trump sebagai presiden – dia menarik balik sokongan kepada pencalonan Trump sebulan sebelum pemilihan presiden 2016 – dia menyokong semua calon-calon jawatan kanan yang dipilih Trump.

Satu carta yang disediakan oleh akhbar New York Times pada Januari 2017, memperincikan corak mengundi para senator, menunjukkan Sullivan menyokong semua calon-calon yang dipilih Trump untuk Kabinet barunya.

Sullivan pernah memegang pelbagai jawatan kanan di Rumah Putih.

Menurut laman web rasminya, dia dipanggil balik untuk berkhidmat dalam tentera darat AS di Afghanistan pada 2013, untuk menghapuskan “rangkaian pengganas dan membanteras insurgensi Taliban”.

Beliau juga pernah memegang portfolio ekonomi, tenaga dan perniagaan sebagai pembantu kepada bekas setiausaha negara AS, Condoleezza Rice.

“Dia memberi tumpuan kepada usaha membanteras pembiayaan pengganas, dan melaksanakan dasar berkaitan tenaga antarabangsa, ekonomi, perdagangan, kewangan, pengangkutan, telekomunikasi, dan isu-isu Artik,” kata biografi ringkas di laman web itu.

Peranan masa lalu Sullivan dalam hal ehwal perisikan dan keselamatan AS adalah persamaannya dengan kebanyakan ahli lembaga pengarah IRI.

Berikut beberapa ahli lembaga pengarah IRI yang pernah memegang jawatan berkaitan dengan operasi ketenteraan AS, hubungan luar negara dan perisikan.

– Randy Scheunemann, bekas penasihat keselamatan negara kepada para pemimpin Republikan di Dewan Senat.

– Kelly Ayotte, bekas ahli jawatankuasa “Ancaman Memuncul dan Kebolehannya” bawah jawatankuasa Dewan Kongres Mengenai Perkhidmatan Angkatan Tentera.

– Judy A Black, perunding yang “dikenali sebagai salah seorang pelobi Republikan utama di Washington DC”, menurut firma guamannya.

– J Scott Carpenter, bekas gabenor Penguasa Bersekutu Sementara di Iraq.

– Tom Cotton, pernah berkhidmat secara aktif selama 5 tahun termasuk tugasan tempur di Iraq dan Afghanistan.

– Joni Ernst, bekas leftenan kolonel Pengawal Kebangsaan (seperti Wataniah) Amerika Syarikat, dan veteran tempur perempuan pertama yang terpilih sebagai senator.

– Alison B Fortier, bekas naib presiden bahagian Sistem Pertahanan dan Strategi Peluru Berpandu di syarikat persenjataan, Lockheed Martin.

– Christopher J Fussner, pernah berkhidmat dengan kumpulan kebajikan antarabangsa, Church World Service, sebagai pegawai penempatan semula pelarian ketika krisis pelarian Vietnam di Malaysia.

– Lindsey Graham, senator Republikan, bekas kolonel tentera udara AS yang pernah berkhidmat di Iraq, dan ahli jawatankuasa “Ancaman Memuncul dan Kebolehannya” bawah jawatankuasa Dewan Kongres Mengenai Perkhidmatan Angkatan Tentera.

– Kay Granger, ahli jawatankuasa kecil Dewan Kongres Mengenai Operasi Dalam Negeri, Luar Negara dan Program Berkaitan” dan pengerusi bersama Kaukus Anti-Pengganas, salah seorang “pemimpin paling dikenali dan berpengaruh tentang pertahanan dan dasar luar negara”, menurut laman IRI.

– Janet Mullins Grissom, bekas pengarah politik kepada George Bush I dalam kempen pemilihan presiden 1988.

– James T Kolbe, bekas pegawai tentera laut AS dan ahli lembaga pengarah badan pemikir “Freedom House” yang mendapat dana daripada kerajaan.

– David Kramer, bekas presiden “Freedom House” dan penasihat kepada Jabatan Negara AS.

– John McCain, calon presiden 2 kali dan ahli Jawatankuasa Perkhidmatan Angkatan Tentera di Dewan Senat, “sangat terlibat dengan isu dasar luar negeri dan pertahanan AS”, menurut IRI.

– HR McMaster, bekas jeneral tentera darat AS, pernah berkhidmat sebagai penasihat keselamatan negara kepada Presiden Donald Trump, dan terlibat dengan operasi ketenteraan seperti Perang Teluk, Operasi “Enduring Freedom” dan Operasi “Iraqi Freedom”.

– Mitt Romney, bekas gabenor dan calon presiden Republikan yang tewas kepada Presiden Barack Obama pada 2012.

– Kristen Silverberg, bekas penasihat kanan kepada Paul Bremer semasa beliau mengetuai Penguasa Bersekutu Sementara di Iraq.

– Frances Townsend, bekas penasihat Keselamatan Dalam Negeri, melapor kepada George W Bush tentang keselamatan dalam negeri dan anti-keganasan. Beliau juga mengetuai agensi Dasar Perisikan dan Kajian Semula di Jabatan Kehakiman AS, yang ditugaskan untuk meluluskan aktiviti-aktiviti perisikan.

– Olin L Wethington, pengarah dasar ekonomi untuk Penguasa Bersekutu Sementara di Iraq.