Tak semua ahli parlimen PH sudi lepas kerusi mereka, kata Zuraida

Zuraida Kamaruddin berkata satu mesyuarat perlu dibuat bagi membincangkan kerusi mana yang patut dilepaskan untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata bukan semua ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk melepaskan kerusi mereka untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mana pula 51 MP bersedia?

“Permatang Pauh dengan Pandan tak setuju. 51 salah, 2 dah tak setuju dah, jadi tak boleh lah, itu dia yang cakap.

“Kena ada satu sistem, tak boleh cakap macam tu sahaja,” katanya merujuk kepada kepada keengganan Presiden PKR Datuk Wan Azizah Wan Ismail yang juga ahli parlimen Pandan dan anaknya Nurul Izzah Anwar yang merupakan ahli parlimen Permatang Pauh, memberikan kerusi mereka kepada Anwar.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata beliau sedia meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi itu.

“Jika sudah berbincang dan Selayang dipilih, saya bersedia untuk beri laluan kepada Anwar. Saya yakin 51 orang ahli Parlimen (PKR) juga akan berikan laluan kepada beliau,” katanya.

Sebelum ini, Wan Azizah berkata, beliau akan terus memegang jawatan dalam Kabinet dan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan, manakala anak sulung mereka, Nurul Izzah pula akan terus berkhidmat di Parlimen Permatang Pauh sehingga akhir penggal 5 tahun.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata perlu ada satu mesyuarat khas untuk membincangkan isu tersebut bagi mengenal pasti kerusi terbaik yang perlu diberikan kepada pemimpin itu selepas ini.

“Jadi pada saya sekiranya ada keperluan untuk melaksanakan itu, ianya mesti berdasarkan satu keputusan bersama, satu mesyuarat membincangkan di mana yang terbaik, mana risiko yang paling rendah dan siapa yang akan diberikan ‘privilege’ untuk membuat ‘national service’ kepada negara.

“Jadi kita kena kaji yang itu dan kalau keputusan mesyuarat mengatakan A atau B kita akan ikut,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Lembah Subang 1, hari ini.

 

Ahli Parlimen Selayang sedia kosongkan kerusi untuk Anwar