UKM pertahan peraturan wajibkan pelajar bikin video #masukukm2018

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempertahankan peraturan mewajibkan bakal pelajar membikin 2 video #masukukm2018 dan #masukFUU2018 untuk dimuatnaik ke laman sosial sebelum melapor diri ke universiti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Roslee Rajikan berkata langkah itu bertujuan meningkatkan kemampuan komunikasi dan interaksi para pelajar selepas mendapat maklum balas daripada industri.

“Sebagai universiti kita kena berani melakukan pembaharuan asalkan kita juga menyediakan ruang yang bersesuaian dan memudahkan pelajar untuk melakukan aktiviti tersebut,” katanya.

Media sosial kecoh apabila tular senarai semakan pendaftaran diri dikatakan dari universiti itu yang mewajibkan pelajar baru membikin 2 video untuk dimuatnaik di akaun Instagram dan Facebook peribadi.

Video pertama berupa penceritaan perasaan dan cita-cita apabila ditawarkan ke UKM, dan video kedua temu bual pelajar bersama alumni.

Tanda pagar #masukukm2018 dan #masukFUU2018 mesti disertakan dalam 2 video itu.

Tanda # dalam rangkaian sosial bertujuan memudahkan penemuan warga internet semasa berlayar. Ia boleh menjadi tular jika dipromosikan secukupnya.

Peraturan UKM itu bagaimana dikecam pelbagai pihak, khususnya pengguna media sosial, yang menganggapnya sebagai karut dan sekadar langkah menaikkan nama universiti.

Roslee bagaimanapun berkata UKM menerima kritikan warga internet. Beliau berkata pelajar tidak terikat dengan format yang akan membebankan, dan universiti sedia membantu pelajar apabila diperlukan.

“Mesti ada yang terima, ada yang tidak. Itu perkara biasa,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM menjelaskan mana-mana pelajar yang gagal memuatnaik video #masukukm2018 masih akan diterima masuk pada hari pendaftaran nanti.

“Tidaklah kalau tidak buat video itu tidak boleh masuk UKM,” kata Presiden Adib Ashman Burhan Burhanudin.

“Syarat wajib itu untuk mendapatkan kesungguhan pelajar baru kepada UKM. Peraturan kata wajib tetapi kita faham atas kekangan tertentu mungkin ada yang tidak dapat laksanakan.”

Adib memberitahu ini sudah masuk kali ketiga UKM melaksanakan syarat tersebut kepada pelajar baru.

“Sebelum ini hanya video pengenalan diri, maknanya sebaik sahaja dapat masuk UKM, mereka perlu buat satu pengenalan diri dan ceritakan hasrat dan perasaan mereka dapat tawaran tersebut.

“Tetapi tahun ini kelainannya adalah mencari alumni,” katanya.