Wakil rakyat PAS minta 2 pemimpin PH jangan jadi pasu dalam Kabinet

Ahmad Marzuk Shaary berkata, ini adalah masa sesuai untuk PH memperkasakan Islam dengan menambah aspek pemakaian patuh syariah bagi pakaian seragam pramugari. (Gambar Youtube)

KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat PAS meminta 2 pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak menjadi pasu bunga dalam Kabinet dengan menyuarakan pendirian mereka berhubung pakaian seragam pramugari Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) merujuk Menteri Wilayah, Khalid Samad (PH-Shah Alam) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mendiamkan diri berhubung isu itu.

Katanya, ini adalah masa sesuai untuk PH memperkasakan Islam dengan menambah aspek pemakaian patuh syariah bagi pakaian seragam pramugari.

“Di bawah kawalan kerajaan baru, sepatutnya ada pemakaian patuh syariah dan kita perlu maju setapak lagi. Isu pemakaian pramugari Malaysia Airlines ini sudah berlanjutan dan tidak diselesaikan sehingga hari ini.

“Sepang dan Shah Alam orang yang berjuang bersama untuk aspek pemakaian patuh syariah. Mereka jangan jadi pasu bunga dalam Kabinet,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Marzuk bertanya kepada menteri pengangkutan adakah pakaian seragam pramugari MAB sesuai dengan imej Islam sebagai agama rasmi negara.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, syarikat penerbangan boleh memilih pakaian seragam pramugari patuh syariah, selagi ia mematuhi kriteria ditetapkan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Beliau berkata, untuk mendapat sijil keselamatan, syarikat penerbangan perlu memastikan pakaian seragam kru penerbangan membolehkan mereka melakukan prosedur keselamatan dalam tempoh ditetapkan.

“Oleh itu, syarikat penerbangan bebas memilih pakaian kru mereka, selagi ia memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya sambil menambah antara kriteria itu ialah seragam yang membolehkan anak kapal melaksanakan pemindahan kecemasan dan keputusan komersial syarikat penerbangan berdasarkan imej korporat mereka.

“Kementerian tidak mempunyai sekatan sekiranya pramugari beragama Islam mahu memakai pakaian yang mematuhi syariah, selagi ia memenuhi kriteria yang ditetapkan CAAM.”

Katanya, sejajar tema “Hospitaliti Malaysia” yang diamalkan MAB, pakaian seragam kebaya pramugarinya mencerminkan budaya tempatan.