Saya akan jadikan tentera Malaysia hebat, kata Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini berikrar akan menguatkan kembali pertahanan negara mengatasi negara-negara jiran, ditengah-tengah kontroversi tentang peruntukan dan penyenggaraan aset.

Beliau berkata keadaan sekarang berbeza sama sekali dengan era 1970-an ketika kuasa ketenteraan Malaysia “terkuat di rantau ini”.

“Kedudukan tentera laut, udara dan lain-lain paling bawah di Asia Tenggara. Jauh sekali daripada Vietnam dan Indonesia. Kita pernah berada dalam kedudukan nombor 1.

“Kita akan pastikan Malaysia kembali menjadi hebat,” katanya di Dewan Rakyat.

Mohamad menjawab soalan Datuk Danyal Balagopal Abdullah (PH-Port Dickson) yang bertanyakan tentang masalah peruntukan dalam melaksanakan rancangan pertahanan.

Menteri pada Julai mendedahkan tentera tidak mampu mengekalkan tahap layak terbang 14 daripada 18 pesawat penguasaan udara, Su-30MKM, dan semua 10 pesawat tempur pelbagai peranan, MiG-29N, dengan baik. Beliau berkata kementerian sudah menamatkan kontraktor yang diambil pentadbiran lepas dan sedang mencari pengganti.

Mohamad hari ini mengakui terdapat gangguan dalam aliran dana. Menurut beliau, tentera udara meminta RM1.8 bilion untuk menyenggara Su-30MKM tetapi hanya RM1.1 bilion diluluskan.

“Mereka memerlukan penambahbaikan yang besar. Saya boleh menyalahkan kerajaan terdahulu tetapi ini tidak akan menyelamatkan keadaan,” katanya.

Mohamad berkata beberapa aset lain yang sudah berusia 20 tahun perlu diganti atau diselenggara, dan kementerian sedang mencari pakar untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

Agensi berita Reuters sebelum ini melaporkan pentadbiran lepas menangguhkan rancangan menggantikan pesawat MIG-29N dengan pesawat baru. Kerajaan sebelum ini mempertimbangkan 4 pilihan iaitu Dassault Rafale buatan Perancis, Eurofighter Typhoon buatan Eropah, Boeing F/A-18 E/F buatan Amerika Syarikat dan Saab JAS-39 buatan Sweden.