Alasan baik kenapa Anwar mahu segera kembali ke Parlimen, kata peguam

Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Peguam berkata terdapat asas kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu segera dipilih sebagai Ahli Parlimen kerana beliau dijangka menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Mereka berkata perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa calon perdana menteri hendaklah merupakan Ahli Dewan Rakyat bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong membuat pelantikan itu.

Bagaimanapun kata mereka, apa-apa pelantikan adalah tertakluk kepada pertimbangan YDP Agong sama ada Anwar mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan rakyat sekiranya berlaku kekosongan untuk jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun mereka berbeza pendapat tentang siapakah yang perlu mengosongkan kerusi bagi membolehkan Anwar dipilih ke Dewan Rakyat.

Zainur Zakaria berkata, Anwar boleh bertanding dalam pilihan raya kecil dengan syarat salah seorang Ahli Parlimen PKR bersedia melepaskan jawatan.

Kiatanya, ia mungkin isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang kini merupakan Ahli Parlimen Pandan, atau anak mereka, Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh), William Leong (Selayang) atau Johari Abdul (Sungai Petani).

“Tidak kiralah siapakah mereka, Anwar mesti mejadi Ahli Parlimen dahulu untuk dipertimbangkan sebagai perdana menteri,” katanya.

Zainur berkata, faktor paling penting bagi pelantikan Anwar ialah beliau mendapat kepercayaan 222 Ahli Dewan Rakyat.

Peguam kanan itu memberi respons terhadap pendirian Anwar yang mahukan Ahli Parlimen meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan, bukannya menunggu adanya kerusi kosong kerana kematian.

Anwar, dalam satu sidang media, diminta memberi komen tentang langkah beliau seterusnya selepas memenangi jawatan presiden PKR tanpa bertanding, dan sama ada beliau akan menunggu berlakunya pilihan raya kecil secara semula jadi atau merencanakannya.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah berkata, Wan Azizah patut mengosongkan kerusi beliau bagi membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya kecik.

“Dalam satu temu bual, Azizah berkata beliau mempertahankan kerusinya bagi membolehkan Anwar kembali ke Parlimen,” katanya.

Haniff berkata, adalah sesuai Wan Azizah mengosongkan kerusinya kerana beliau kini bukan lagi presiden PKR, jawatan yang dipegangnya selama 20 tahun.

Peguam itu, yang dikaitkan dengan PPBM pimpinan Dr Mahathir berkata, sesiapa juga yang memenangi kerusi dalam pilihan raya umum akan berasa keberatan untuk melepaskannya.

“Ini juga tidak sihat untuk demokrasi kerana pilihan raya adalah mengenai pengundi di kawasan anda. Melepaskan jawatan selepas 3 bulan memenanginya menunjukkan anda tidak menghormati pengundi,” katanya.

Peguam Ragunath Kesavan berkata, Pakatan Harapan (PH) dan PKR perlu mendapatkan pandangan orang ramai kerana umum mengetahui Anwar merupakan calon utama perdana menteri selepas Dr Mahathir.

Beliau mencadangkan Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

“Wan Azizah boleh dilantik sebagai senator dan kekal sebagai timbalan perdana menteri dan anggota Kabinet seperti sekarang,” katanya.

Di bawah konsensus PH, perubahan kepimpinan dijangka berlaku dalam tempoh 2 tahun.

Bagaimanapun Dr Mahathir, yang kini berumur 93 tahun, baru-baru ini berkata, beliau bersedia kekal lebih lama sebagai perdana menteri jika rakyat mahu beliau berbuat demikian.