Mujahid mahu masyarakat jangan diskriminasi transgender

PUTRAJAYA: Datuk Mujahid Yusof Rawa menggesa masyarakat jangan mendiskriminasikan golongan transgender kerana keengganan memberi layanan sama rata menyebabkan orang itu tidak boleh berdikari lalu terjerumus ke lembah pelacuran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata masyarakat harus memainkan peranan membantu golongan transgender.

“Golongan transgender tidak boleh didiskriminasikan di tempat kerja dan sebagainya. Diskriminasi tidak membantu mereka berdikari.

“Saya gesa masyarakat beri mereka peluang. Mereka juga mahu menyumbang dan mendapatkan hak mereka,” katanya pada sidang media di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Sidang media ini diadakan selepas pertemuan dengan aktivis transgender, Nisha Ayub dan timbalan menteri di JPM Fuziah Salleh membincangkan isu-isu yang membelenggu komuniti itu.

Mujahid berkata golongan trasngender maklum akan sensitiviti masyarakat dalam isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Mereka bukannya mahu perkahwinan sesama mereka. Mereka sedar situasi dalam negara,” kata menteri.

“Mereka hanya tidak mahu disakiti dan kita tidak mahu rakyat terus mengecam. Ada antara golongan transgender tidak diterima di tempat kerja dan diberi layanan buruk sewaktu mendapatkan rawatan kesihatan.

“Ini sebenarnya salah,” katanya.

Mujahid berkata pertemuan hari ini tertumpu kepada golongan transgender dan tidak berbincang mengenai golongan lesbian, gay dan biseksual.

“Transgender mudah untuk dikenalpasti melalui penampilan mereka tetapi golongan lain tidak,” katanya.

“Saya sedia untuk bertemu dengan komuniti lain. Namun setakat ini hanya Nisha sahaja yang menghubungi saya untuk membincangkan isu komunitinya,” katanya.

Aktivis transgender, Nisha Ayub gembira pertemuan ini dapat diadakan kerana ia membincangkan masalah komuniti itu.

“Terima kasih kerana berikan kami ruang dan ini kali pertama menteri setuju untuk bertemu dengan kami,” katanya.

“Saya setuju dengan Mujahid bahawa kami tidak meminta lebih. Kami faham budaya di Malaysia, jadi tolonglah masyarakat hentikan stereotaip golongan transgender. Kami ada keluarga dan kita hanya mahu akses yang sama,” katanya.