PAS tunggu peluang bahas RUU355 di Parlimen

Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Hassan Mohamood berkata, walaupun parti itu bersetuju dengan pendekatan holistik cadangan kerajaan Persekutuan, ia juga percaya RUU355 antara lain dapat mengatasi masalah gejala sosial. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: PAS tidak akan berputus asa untuk mencari peluang membahaskan kembali Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) di Parlimen di sebalik langkah kerajaan Persekutuan mencari formula penyelesaian lebih holistik untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Hassan Mohamood berkata walaupun parti itu bersetuju dengan langkah kerajaan Persekutuan mencari penyelesaian terbaik berhubung perkara tersebut, namun dalam masa yang sama PAS yakin hanya RUU355 dapat menyelesaikan masalah sosial yang melanda umat Islam ketika ini.

“Kita setuju memperkasa (Mahkamah Syariah secara holistik) tapi dalam memperkasa pun, RUU355 ini mesti diutamakan sebab matlamat kita nak perkasa Mahkamah Syariah ini supaya masalah yang berbangkit seperti gejala sosial dapat dikurangkan seterusnya dihapuskan.

“Salah satu caranya (menghapuskan gejala sosial) adalah menerusi pelaksanaan RUU355,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Rabu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata jawatankuasa yang ditubuhkan antara pentadbiran kerajaan Persekutuan terdahulu dan kerajaan negeri dalam membincangkan RUU 355 kini tidak lagi berfungsi.

Mujahid dipetik sebagai berkata dasar kerajaan baru melihat Mahkamah Syariah dalam kerangka lebih holisitik dan kepada intipati dari segi hakim, penguatkuasaan, infrastruktur dan lain-lain.