Saya tak layan serangan peribadi, mereka masih mentah, kata Zuraida

Zuraida Kamaruddin akan bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan PKR kali ini.

KOTA KINABALU: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin tidak mahu terlibat dalam “perang mulut” dengan calon PKR pada pemilihan parti akan datang, terutamanya berhubung kenyataan beliau dianggap “tidak efektif” sebagai ketua sayap parti itu.

Ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan itu, menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu percaya mereka yang menuduhnya adalah calon yang bertanding dalam pemilihan parti serta masih “mentah dan tidak menyerlah”.

“Oleh itu, saya tidak mahu melayan kenyataan seperti ini.

“Ia tidak penting (dakwaan mengenai kepimpinan Zuraida) kerana apa yang perlu kita lakukan ialah membangunkan dan mengukuhkan parti seperti yang kita lakukan hari ini dalam mengukuhkan kerajaan baru dan memastikan kita bekerja keras dan kerajaan berjaya memenuhi manifestonya,” katanya selepas menghadiri taklimat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu mengenai masalah setinggan di bandar, hari ini.

Zuraida yang akan bertanding jawatan naib presiden PKR, dituduh calon naib ketua Wanita PKR, Datin Faezah Ariffin sebagai tidak efektif dalam kepimpinannya.