PKR diminta benarkan warga emas guna kertas undi, elak boikot pemilihan

Azan Ismail mengakui sistem e-undi mempunyai banyak kebaikan dan jika berjaya dilaksanakan, ia boleh menjadi batu asas kepada parti lain serta SPR. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail meminta parti itu mempertimbangkan pengecualian kepada ahli warga emas menggunakan kertas undi dalam pemilihan PKR, ketika mereka beralih kepada sistem pengundian dalam talian atau e-undi.

Calon naib presiden PKR itu bimbang ada ahli warga emas mungkin tidak berpuas hati atau memboikot pemilihan parti kerana tidak tahu menggunakan kaedah baru untuk mengundi.

“Komposisi pengundian terbahagi kepada beberapa kumpulan – golongan warga emas, 50 tahun ke bawah, 40 tahun ke bawah dan 20 tahun ke bawah,” katanya yang tidak tahu PKR mempunyai berapa ramai ahli warga emas berusia 50 tahun ke atas.

“Mungkin ada segelintir kumpulan terlalu kecil ahli PKR yang memerlukan bantuan sebegini (sistem lama), sekiranya ada keperluan yang sangat terdesak, saya fikir JPP perlu meneliti keadaan ini,” katanya kepada FMT.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu bagaimanapun menjangkakan masalah itu tidak serius sehingga menyebabkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) terpaksa membatalkan sistem e-undi.

“Jika wujud kebimbangan dan kerumitan hanya melibatkan warga emas, mahu tidak mahu mereka kena adaptasi kepada situasi ini.

“Kita yakin masih ada masa untuk beri keterangan, kita juga tidak bimbang apabila kumpulan warga emas ini membantah (kerana) hanya segelintir kecil ahli (warga emas) yang akan hadapi masalah.”

Awal bulan lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sedang menjalankan ujian terhadap sistem e-undi untuk mengenal pasti sebarang masalah sebelum proses pengundian bermula di seluruh negara, bulan ini hingga September.

Katanya, penggunaan sistem e-undi bertujuan melancarkan dan mempercepatkan proses mengundi, manakala proses pengiraan undi akan dilakukan secara automatik dalam sistem dan keputusan penuh akan diumumkan JPP selepas undian selesai di seluruh negara.

PKR dilaporkan menerima lebih 300,000 anggota baru menyertai parti itu sejak 9 Mei hingga 26 Jun lalu yang menjadi keseluruhan ahlinya kini melebihi 800,000 orang.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin PKR bimbang dengan masalah yang mungkin timbul, termasuk kekangan jaringan jalur lebar, sistem atau perisian digodam dan pengiraan semula undi.

Azan yang juga bekas Adun Bandar di Kuala Terengganu, mengakui sistem e-undi mempunyai banyak kebaikan, khasnya dari segi penjimatan kos.

“Dengan e-voting, kita boleh jimatkan proses percetakan kertas undi, kadang-kadang kertas undi banyak menjurus kepada pembaziran dan membawa kepada penyelewengan serta proses pengiraan juga amat merumitkan. E-voting lebih mudah dan jimat masa.

“Sistem elektronik ini juga dapat menyelesaikan isu tohmahan dan persepsi yang tidak baik.”

Katanya, jika berjaya dilaksanakan, sistem e-undi boleh menjadi batu asas kepada parti lain serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“SPR sepatutnya berterima kasih kepada PKR kerana berani melaksanakan sistem ini dan jika ia terbukti baik, maka SPR boleh ambil contoh dan proses ini untuk tujuan pilihan raya umum.”

Beliau berkata, negara perlu berubah mengikut peredaran masa dan tidak terus bergantung kepada sistem manual.