Adakah LTAT dalam senarai pembersihan Putrajaya?

Lodin Wok Kamaruddin ialah ketua eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Selepas kerajaan dengan mudah membersihkan Khazanah Nasional daripada individu dikaitkan dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, kini ia menyasarkan beberapa dana lain yang menguntungkan.

Menurut sumber, satu daripada sasaran itu ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menguruskan kutipan wang daripada tentera. Ia meraih keuntungan sebanyak RM667 juta tahun lalu.

Sumber itu memberitahu FMT, dana itu mempunyai kira-kira RM9 bilion yang disumbangkan ahlinya.

“Itu terlalu besar untuk Putrajaya terlepas pandang dalam proses pembersihannya,” katanya merujuk operasi menyingkirkan individu yang dilihat terlalu rapat dengan Najib dalam organisasi berkaitan kerajaan.

Katanya, Ketua Eksekutif LTAT, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan beberapa pegawainya mungkin menjadi sasaran kerajaan.

Sumber itu berkata, Lodin setakat ini berjaya mengelak daripada cubaan menyingkirkannya daripada LTAT.

Lodin pernah dilantik sebagai pengerusi 1MDB, dana kerajaan bermasalah yang dikatakan berbilion ringgit diseleweng daripadanya melalui pelbagai salah laku.

Ketika ini, beliau ialah pengarah urusan kumpulan Boustead Holdings yang dikuasai LTAT, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan aset sebanyak RM17 bilion.

Beliau menjauhkan diri daripada dakwaan tidak wajar membabitkan kotroversi penempatan semula pangkalan udara Sungai Besar untuk memberi laluan kepada Bandar Malaysia, sebuah projek 1MDB yang dibenarkan Putrajaya untuk diteruskan.

Pada 2013, 1MDB memberikan kontrak bernilai RM2.1 bilion kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) dimiliki LTAT, untuk membangunkan 8 tapak yang akan menjadi lokasi penempatan semula pangkalan udara itu.

Lodin mempertahankan 1MDB daripada dakwaan bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, ia menggunakan hubungan dengan LTAT untuk menangguhkan pembayaran kepada PPHM dan menipu penyumbang dana itu.

LTAT memfailkan saman terhadap Rafizi, tetapi ia ditarik balik kurang 2 minggu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Sebelum PRU14, Lodin secara konsisten mempertahankan kerajaan pimpinan Najib daripada dakwaan ia menggunakan LTAT untuk manfaat 1MDB.

Kira-kira sebulan sebelum PRU14, beliau menyangkal dakwaan bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz yang Kementerian Pertahanan mengetepikan LTAT dalam projek membabitkan aset tentera.

“Kementerian Pertahanan sentiasa memberi keutamaan kepada LTAT untuk pelaksanaan projek, khususnya yang membabitkan kaedah ‘land swap’.

“Malah, keuntungan diperolehi LTAT melalui pelaksanaan pelbagai projek itu turut dipulangkan semula kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui dividen tahunan LTAT yang dikreditkan kepada akaun pencarum setiap tahun,” kata Lodin pada 12 April lalu.

LTAT ialah badan berkanun yang memberi manfaat persaraan kepada anggota tentera. Setiap tentera menyumbang 10% daripada gaji bulanannya kepada dana itu dan kerajaan menambah 15%.

Asetnya termasuk pencakar langit di beberapa lokasi yang paling dikehendaki di Kuala Lumpur.