Australia lulus akta paksa syarikat teknologi dedah data berkaitan jenayah

Angus Taylor berkata, jika waran geledah untuk memantau telefon suspek diperolehi, penguatkuasa boleh mengakses peranti itu dari jauh, melihat mesej yang disulitkan dan mencari serta memadamkan kandungan. (Gambar Reuters)

CANBERRA: Kerajaan Australia meluluskan satu undang-undang baru yang akan memaksa syarikat teknologi mendedahkan data disulitkan berkaitan aktiviti jenayah, lapor agensi berita China Xinhua.

Di bawah undang-undang baru itu yang diumumkan Menteri Penguatkuasaan Undang-undang dan Keselamatan Siber, Angus Taylor, pada Selasa, syarikat yang enggan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang boleh berdepan sekatan kewangan.

Taylor berkata, undang-undang baru itu merupakan kemas kini perundangan yang amat diperlukan dan digubal sebelum telefon pintar menjadi perkara biasa.

“Kita tahu lebih 90% data yang dipintas secara sah oleh Polis Persekutuan Australia (AFP) kini menggunakan beberapa bentuk enkripsi atau penyulitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Taylor berkata, ini memberi kesan langsung ke atas kira-kira 200 siasatan kes jenayah serius dan jenayah berkaitan keganasan dalam 12 bulan kebelakangan ini sahaja.

Meskipun undang-undang baru itu akan memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang di Australia, ia tidak akan memberikan hak kepada pihak berkuasa menggunakan “pintu belakang” untuk mengakses peranti suspek.

Bagaimanapun, jika waran geledah untuk memantau telefon suspek diperolehi, pihak penguatkuasaan undang-undang akan dapat mengakses peranti itu dari jauh, melihat mesej yang disulitkan dan mencari serta memadamkan kandungan.

“Semua jenayah dalam kes yang diberi waran mestilah serius. Ia bukan sebarangan jenayah, ia adalah jenayah yang serius. Jadi, hukumannya adalah penjara 3 tahun atau lebih,” kata Taylor.