Bila kastam kata PH ambil wang akaun amanah GST, kata Guan Eng

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng tertanya sama ada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak faham kenyataan kastam mengenai defisit RM19.4 bilion dalam akaun amanah GST.

Beliau berkata Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam tidak pernah mengaitkan RM19.4 bilion kepada Pakatan Harapan.

“Bila Subromaniam cakap PH ambil duit? Kenyataan akhbar pun tak tahu baca,” katanya pada sidang media hari ini.

“Sekarang mereka cakap kenyataan KP kastam tuduh kerajaan PH ambil wang. Macam mana boleh berlaku macam ini? Bacalah kenyataan dia semula. Jangan hitamkan yang putih, putihkan yang hitam.”

Subromaniam minggu lepas berkata kerajaan hanya meluluskan RM63.5 bilion ke akaun amanah itu berbanding RM82.9 bilion yang diminta kastam.

“Kenyatan jelas bahawa kerajaan dulu tak nak luluskan pemindahan wang RM19.4 bilion, yang menyebabkan sehingga hari ini ada pihak tak terima,” kata Lim.

Najib sebelum ini berkata kerajaan PH mungkin sudah membelanjakan wang dalam akaun Kumpulan Wang Disatukan yang sepatutnya disalurkan ke akaun amanah tuntutan GST bagi menampung perbelanjaan bulanan kerajaan.

Ini kerana kerajaan PH kehilangan pendapatan selama 3 bulan apabila kadar GST diturunkan ke 0% dan SST belum dilaksanakan, katanya.

“Apabila PH mensifarkan GST pada 1 Jun, peniaga boleh menuntut semua cukai input GST serta-merta dan menyebabkan semua meluru membuat tuntutan cukai input GST, sama ada mereka membuat jualan atau sebaliknya.

“Akibatnya, PH mengalami kesukaran membayar tuntutan GST yang banyak, dibuat sekaligus dan memerlukan seseorang untuk dipersalahkan,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah sudah membuat laporan polis menggesa siasatan ke atas perkara ini.