Kritik LGBT, Marina: Kelantan akan pertahan Nur Ilyani

Izani Husin berkata Marina Mahathir dan Adeeba Kamarulzaman sepatutnya berterima kasih kepada Nur Ilyani. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan akan mempertahankan tindakan seorang pegawai perubatan negeri itu, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang menulis surat secara terbuka kepada Datin Paduka Marina Mahathir berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, keputusan itu dibuat kerana menganggap kenyataan Nur Ilyani tidak bertentangan dengan dasar perubatan dan mana-mana pihak tiada hak menjatuhkan hukuman.

“Kerajaan negeri mempertahankan tindakan Nur Ilyani kerana ia tidak bercangah dengan sistem amalan perubatan. Beliau tidak diskriminasi, ucapannya menjurus kepada perawatan.

“Kenyataan beliau tidak bercangah dengan dasar amalan perubatan, malah beliau sebut dengan jelas tidak ada diskriminasi terhadap pesakit.

“Cuma dari sudut perubatannya, ia sebahagian daripada pencegahan kerana HIV ini berlaku antaranya disebabkan hubungan sejenis dan golongan ini (LGBT) tidak perlu diiktiraf. Ia juga tidak boleh dijadikan amalan hidup kerana ia bercangah dengan agama, bercanggah dengan tatasusila manusia normal.

“Lagipun sebahagian perubatannya ialah perubatan pencegahan, jadi nasihat-nasihat sepertimana perubatan pencegahan tidak ada masalah,” katanya kepada FMT.

Izani berkata, Marina dan Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof Dr Adeeba Kamarulzaman sepatutnya berterima kasih kepada Nur Ilyani kerana jika gejala ini tidak dibendung ia mendatangkan mudarat di masa akan datang.

“Kerana apa saya kata patut berterima kasih, pertama kalau kita galakkan LGBT, seolah-olah kita galakkan penyebaran HIV. Kalau kita tidak cegah ia juga seolah-olah kita menghalalkan perbuatan liwat, sebab perlakuan itu boleh menyebabkan HIV,” katanya.

Izani juga berkata pihaknya bertemu Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad hari ini dan memaklumkan kedudukan sebenar Nur Ilyani dan berharap tiada sebarang tindakan dikenakan.

“Kami tidak jangka pun Kementerian Kesihatan akan ambil tindakan kepada Nur Ilyani kerana tiada sebarang percanggahan dibuat dari sudut perubatan.

“Kebetulan pagi tadi saya jumpa dengan menteri kesihatan dan suarakan isu ini secara tidak langsung, kami berharap isu ini tidak dipanjangkan dan tiada tindakan dikenakan kepada Nur Ilyani,” katanya sambil memaklumkan Kelantan sedia bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk mendekati golongan LGBT agar kembali ke pangkal jalan tanpa sebarang diskriminasi.

Sebelum ini Nur Ilyani yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, dilaporkan akan berdepan tindakan tatatertib selepas tindakannya diadukan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Isnin lalu, Nur Ilyani memuat naik surat terbuka kepada Marina di Facebook yang menyentuh soal hak kesamarataan yang disebut anak perdana menteri itu untuk golongan LGBT, namun status itu dikeluarkan daripada Facebook kerana dikatakan melanggar standard komuniti laman sosial berkenaan.

Hari ini, Kementerian Kesihatan berkata pihaknya belum mengadakan perbincangan sama ada tindakan akan dikenakan atau tidak terhadap Nur Ilyani.

“Perkara ini saya akan ambil perhatian dan tidak dapat buat apa-apa lagi tentang perkara itu kerana belum ada apa-apa perbincangan,” kata menterinya, Dzulkefly.

Mengulas lanjut, Izani berkata berdasarkan rekod tiada sebarang kes penyebaran budaya LGBT di Kelantan.

“Setakat ini tidak ada statistik, tapi kita tidak boleh nafi aktiviti ini kerana ia boleh berlaku di mana-mana,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri akan memperbanyakkan pendekatan kaunseling selain rawatan supaya golongan itu kembali ke pangkal jalan tanpa sebarang kekerasan.

FMT sedang mendapatkan maklum balas daripada Nur Ilyani.