Langat 2 siap akhir 2023, kata menteri

KUALA LUMPUR: Tahap pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 kini mencapai 70% dan dijangka siap pada akhir 2023, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

“Loji Langat 2 sekarang sudah sampai dekat 70% dan akan siap pada akhir 2023,” katanya di Dewan Rakyat, menjawab pertanyaan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang).

LRA Langat 2 mula dibina pada 2014 bagi memenuhi permintaan tinggi di Lembah Klang akibat pertumbuhan yang pesat dan bagi mengelakkan krisis air menjelang 2020. Projek RM8 bilion ini dijangka berupaya membekalkan 1,130 juta liter air (MLD) apabila siap sepenuhnya.

Pada Julai, Xavier dilapor berkata LRA Langat 2 akan mula membekalkan 350 juta liter air (MLD) untuk kegunaan Selangor mulai November ini.

Pertambahan itu akan meningkatkan rizab air negeri yang pernah dilanda masalah bekalan air yang serius daripada 3% ke 7% dan mampu menampung sehingga 1 juta isi rumah.

Kerajaan pada November tahun lepas dilapor berkata loji itu sudah 90% siap dan akan mula membekalkan air pada suku pertama tahun ini.

Ketua Setiausaha Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Zaini Ujang berkata Langat 2 dijadualkan siap pada Disember 2019.