Loghat ‘Kelate’ satukan rakyat Kelantan

Tiada apa yang pelik melihat masyarakat pelbagai kaum di negeri ini berbual dalam loghat yang sama.

‘Kecek Kelate’ memudahkan mereka sama ada kaum Melayu, Cina dan India serta yang berketurunan Siam, berkomunikasi dengan lebih baik dalam urusan seharian.

Loghat itu dilihat memainkan peranan besar dalam mengekalkan keharmonian sesama mereka walaupun juga berbeza agama.

Perkataan seperti ‘kawe’ atau ‘ambo’ (saya), ‘ghoyak’ (beritahu), ‘make’ (makan), ‘bakpo’ (kenapa), ‘tak dok gapo’ (tidak ada apa-apa) dan ‘bekwoh’ (kenduri) adalah antara dialek Kelantan yang biasa diucapkan dan didengari dalam kehidupan seharian masyarakat negeri ini.

Uniknya, perkataan tersebut juga sinonim dengan penduduk bukan Melayu terutama masyarakat Siam di sini sehingga menjadi ‘alat’ yang menyatukan mereka.

Lebih menarik apabila orang Siam, Cina dan India lebih selesa menggunakan dialek Kelantan dalam urusan seharian sesama mereka dan tidak pelik jika penjual sayur di pasar Bunohan, Tumpat bercakap dalam dialek Kelantan kepada pembeli berketurunan Siam.

Malah, paras rupa mereka yang kebanyakannya menyerupai orang Melayu sering menimbulkan kekeliruan kepada orang luar kerana dialek yang digunakan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Siam Kelantan Ea Chuan Ea Eng berkata hampir keseluruhan 18,000 masyarakat Siam negeri ini fasih berbahasa Melayu dalam loghat Kelantan.

“Bila bercakap dalam loghat Kelantan, kita rasa hubungan kita tiada sempadan seolah bersaudara. Malah, loghat Kelantan juga digunakan dalam percakapan sesama masyarakat Siam sendiri.

“Lebih mencuit hati apabila ada sesetengah pihak terutama yang dari luar Kelantan tidak dapat membezakan mana satu orang Siam dan orang Melayu ” katanya kepada Bernama.

Medium satukan kaum

Ea Chuan mengakui loghat negeri ini, yang sudah sebati dalam kehidupan masyarakat Siam sejak sekian lama, adalah medium utama yang menyatukan pelbagai kaum di negeri pantai timur ini.

Menetap di Kampung Terbak di sini sejak lebih 20 tahun lepas, beliau berkata isteri dan 3 anaknya juga mempunyai kawan rapat dari kalangan orang Melayu.

“Saya harap suasana harmoni ini akan terus diwarisi generasi muda agar semua kaum dapat terus hidup dengan aman,” katanya.

Jika ke Kota Bharu dan singgah di premis perniagaan seperti Pasar Siti Khadijah atau kedai-kedai di sekitarnya, mereka pasti dapat melihat kaum Cina juga fasih berkomunikasi menggunakan loghat Kelantan.

Lau Chit Fang atau lebih dikenali sebagai Fang, 55, bersama-sama rakan dari kaum lain mengambil inisiatif mewujudkan laman sosial Facebook diberi nama ‘Kami Anak Malaysia’ dan ‘Rakan FB Kelantan’ demi cintakan keharmonian yang dikecapi kini.

‘Kami Anak Malaysia’ dibangunkan oleh 4 sahabat daripada pelbagai kaum dengan matlamat mengeratkan hubungan menerusi media sosial.

Pelbagai program dijalankan mereka bagi merealisasikan matlamat memperjuangkan semangat kebersamaan dan patriotik termasuk program ‘Kami Tolak Rasis’ yang mengumpulkan semua kaum dalam setiap aktiviti.

Mereka juga aktif menjalankan program sepanjang Bulan Kebangsaan termasuklah dengan mengagihkan bantuan kepada kaum yang kurang bernasib baik.

Minati bahasa

Fang berkata minatnya kepada bahasa dan cara hidup masyarakat Melayu bermula sejak kecil dan semakin mendalam ketika menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Tengku Mahmood, Besut di Terengganu kerana kebanyakan rakannya adalah orang Melayu.

“Semasa di sekolah menengah, kawan-kawan memanggil saya Fauzi kerana saya fasih berbahasa Melayu dan amat rapat dengan mereka,” katanya.

Bapa kepada 3 anak itu berkata minatnya yang mendalam dalam bahasa Melayu mendorong beliau terus menguasai bahasa kebangsaan itu dengan menghasilkan sajak dan puisi ketika di zaman persekolahan.

“Saya pernah menghantar karya penulisan kepada Persatuan Sasterawan Terengganu dan Dewan Siswa serta Dewan Masyarakat yang cukup terkenal suatu masa dahulu,” katanya.

Fang juga pernah menjadi pemberita sambilan di sebuah akhbar berbahasa Melayu sebelum membuka perniagaan berkaitan media sejak 13 tahun lepas.

Baginya perpaduan kaum besar nilainya dan perlu sentiasa dipelihara demi kelangsungan suasana harmoni yang dikecapi masyarakat sejak sekian lama.

Kongsi budaya

Sementara itu G. Maran, 45, berkata beliau tidak pernah merasa tersisih atau janggal walaupun beliau satu-satunya keluarga etnik India yang menetap di Taman Remah, Tanah Merah.

Beliau bukan sahaja menguasai dialek Kelantan dengan baik malah budaya masyarakat Melayu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak kecil.

“Saya anak jati Kelantan yang dibesarkan dalam suasana kehidupan orang Melayu. Boleh dikatakan cara hidup saya sudah seperti mereka sama ada dalam percakapan atau pun cara hidup. Dialek Kelantan sudah menjadi seperti bahasa ibunda saya sendiri dan menjadikan saya sangat rapat dengan jiran-jiran,” katanya.

Hubungan erat itu diperkukuh dengan sikap saling bertanya khabar, bantu membantu dan ziarah menziarahi terutama pada musim perayaan menjadikan mereka seperti bersaudara.

Maran berkata cara pemakanannya juga sebati dengan juadah orang Melayu.

Setiap pagi, menu sarapannya adalah nasi bungkus yang dibeli di kedai orang Melayu, yang berbeza dengan cara hidup kaum India yang biasanya menikmati tosei sebagai hidangan pagi.

Sebagai pembekal ubat-ubatan, Maran berkata hampir semua pelanggannya adalah orang Melayu menyebabkan beliau menggunakan dialek Kelantan sepenuhnya dalam urusan harian.

“Kebiasaan itu terbawa-bawa dalam pergaulan saya dengan rakan-rakan kaum India dan saya lebih selesa bertutur dialek Kelantan dengan mereka,” katanya.