Mat Sabu nafi ada ‘pembersihan’ dalam LTAT

LTAT dikatakan antara dana yang akan melalui proses ‘pembersihan’ oleh Putrajaya. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini menafikan akan ada “pembersihan” dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau berkata, sekiranya ada penyelewengan dalam LTAT, ia adalah di bawah tugas Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Tan Sri Ambrin Buang.

“Tak ada bersih apa-apa, kalau ada penyelewengan, ia kerja di bawah Tan Sri Ambrin Buang,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Sebelum ini, Ambrin yang juga bekas ketua audit negara dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Ambrin akan ditugaskan bagi meneliti dan menyiasat isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara.

Hari ini, FMT memetik sumber sebagai berkata kerajaan akan menyasarkan LTAT yang menguruskan kutipan wang daripada tentera. Ia meraih keuntungan sebanyak RM667 juta tahun lalu.

Kata sumber, Ketua Eksekutif LTAT, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan beberapa pegawainya mungkin menjadi sasaran kerajaan.

Katanya lagi, Lodin setakat ini berjaya mengelak daripada cubaan menyingkirkannya daripada LTAT.

Sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Lodin secara konsisten mempertahankan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak daripada dakwaan ia menggunakan LTAT untuk manfaat 1MDB.

Kira-kira sebulan sebelum PRU14, beliau menyangkal dakwaan bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz yang Kementerian Pertahanan mengetepikan LTAT dalam projek membabitkan aset tentera.

LTAT ialah badan berkanun yang memberi manfaat persaraan kepada anggota tentera. Setiap tentera menyumbang 10% daripada gaji bulanannya kepada dana itu dan kerajaan menambah 15%.

Asetnya termasuk pencakar langit di beberapa lokasi yang paling dikehendaki di Kuala Lumpur.