Perarakan ketenteraan luar biasa sambut jemaah haji di Arafah

Keamanan dan kestabilan sepanjang musim haji adalah antara kebimbangan terbesar Arab Saudi ketika berjuta-juta umat Islam berkumpul di Kota Suci itu. (Gambar Bernama)

MEKAH: Kerajaan Arab Saudi mengadakan perarakan ketenteraan yang luar biasa sebelum ibadah haji bermula, pada Isnin (semalam).

Perarakan tahunan itu antaranya mempamerkan kekuatan pasukan elit dan aset kerajaan, perbarisan membentuk formasi serta pertunjukan udara menerusi helikopter, di Arafah.

Selain itu, anggota tentera terlibat turut mengadakan simulasi taktikal antikeganasan antaranya aksi mengejar pengganas menggunakan kereta berkelajuan tinggi dan serbuan terhadap bangunan rekaan 3 tingkat yang diakhiri dengan letupan.

Keamanan dan kestabilan sepanjang musim haji adalah antara kebimbangan terbesar negara itu ketika berjuta-juta umat Islam berkumpul di Kota Suci untuk menunaikan Rukun Islam ke-5.

Menurut laman web Pusat Komunikasi Kerajaan Arab Saudi, setakat ini seramai 1,392,739 jemaah haji tiba menerusi pengangkutan udara, darat dan laut untuk melaksanakan haji pada tahun ini.