Aktivis hina Agong kecewa PH belum mansuh Akta Hasutan

Hishamuddin Rais tekad untuk turun berkempen dan menyebarkan kegagalan kerajaan PH menunaikan manifesto kepada rakyat.

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial Hishamuddin Rais hari ini meluahkan rasa kecewa apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum memansuhkan Akta Hasutan seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, beliau masih lagi ditahan di bawah akta tersebut dan Sesyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang menunjukkan ia bercanggah dengan apa yang dijanjikan kerajaan PH sebelum ini.

“Blog itu telah digodam oleh seseorang dan diketahui oleh saya selepas perkongsian itu tular di media sosial.

“Namun begitu, saya berasa sungguh kecewa kerana saya masih dituduh dan disiasat di bawah akta ini yang sepatutnya dimansuhkan oleh kerajaan selepas memenangi pilihan raya,” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Katanya, jika kerajaan terus mengambil sikap sambil lewa dalam usaha memansuhkan Akta Hasutan dan menambah baik Akta Komunikasi dan Multimedia, beliau tekad untuk turun berkempen dan menyebarkan perkara itu kepada rakyat.

“Jika kerajaan benar-benar tidak mahu memansuhkannya, saya sendiri akan turun dan memberitahu kepada rakyat bahawa kerajaan PH gagal menunaikan janji,” katanya.

Jun lalu, 5 NGO Islam di Pahang membuat laporan polis terhadap Hishamuddin yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di blognya.

Wakil NGO itu, Datuk Syed Nasarudin Syed Abd Hadi berkata tindakan Hishamuddin mencemar nama baik Agong dan bersifat hasutan terhadap institusi Raja Melayu yang seharusnya dikenakan tindakan.

Ditanya mengenai dakwaan blognya digodam, Hishamuddin berkata, beliau menyedari blognya tidak boleh diakses seminggu sebelum PRU14.

“Blog saya didapati hilang seminggu sebelum pilihan raya dan saya tidak boleh membuat laporan polis kerana sibuk berkempen.

“Selepas penubuhan kerajaan baru, saya berjaya memiliki semua blog tersebut. Namun saya pelik kerana blog saya yang asal adalah tukartiubblogspot.com tetapi selepas saya mendapatkannya semula, ia menjadi tukartiubblogpot.com.my.”