Gadis berhijab buka mata masyarakat Myanmar mengenai Islam

Win Lae Phyu Sin mempunyai 600 pelajar yang menghadiri lebih 150 kelas solekan yang dijalankannya. (Gambar Reuters)

YANGON: Umat Islam dalam majoriti penganut Buddha di Myanmar biasanya sentiasa merendah diri kerana takutkan tindakan intimidasi, tetapi Win Lae Phyu Sin, salah seorang penulis blog mengenai penjagaan kecantikan bertindak sebaliknya.

Gadis berusia 19 tahun itu menjadi perhatian apabila melancarkan produk kecantikannya di Yangon baru-baru ini. Beliau tampil dengan solekan yang menyerlah, digayakan pula dengan gaun hijau putih berlengan panjang dan bertudung.

“Saya tidak menyesali keputusan saya memakai tudung,” kata blogger itu. “Tuhan kami memberi pelbagai cara untuk saya. Hijab ibarat kunci untuk saya. Saya boleh menggunakannya untuk pergi ke mana saya suka dan buat apa yang saya mahu.”

Umat Islam yang membentuk kira-kira 5% daripada populasi negara berjumlah 50 juta orang, berkata mereka tidak dapat membina masjid baharu dalam beberapa dekad dan berjuang untuk menyewa pangsapuri daripada pemilik tanah penganut Buddha.

Penganiayaan sistematik umat Islam semakin berkembang di Myanmar, kata kumpulan hak asasi, walaupun perhatian dunia memfokuskan kepada umat Islam Rohingya tanpa kerakyatan, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan bantuan berkata lebih 700,000 berhijrah ke negara jiran Bangladesh selepas tindakan kejam tentera negara itu, tahun lalu.

Tetapi ramai umat Islam dari semua etnik ditolak dokumen identiti negara mereka, dan dinafikan akses ke beberapa tempat ibadat, kata Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma dalam satu laporan tahun lepas.

Bagi sesetengah pelajar Win atau juga dikenali sebagai Hafsah Bahnuu, tutorialnya bukan semata-mata bagaimana menggunakan pembayang mata dan celak, ia juga mengenai membina keyakinan dan kebanggaan dalam identiti yang sentiasa dipersoalkan penganut Buddha.

“Saya melihat dia memakai solekan dengan memakai tudung dan ia sangat cantik,” kata Hay Mann Aung, 20.

“Saya mahu menjadi cantik seperti dia.”

Usaha Win menyampaikan gaya fesyen orang Islam Myanmar menggunakan pakaian dan padanan tudung serta solekan yang menyerlah telah menarik minat orang ramai.

Beliau mempunyai 6,000 pengikut di media sosial Facebook dan 600 pelajar menghadiri lebih 150 kelas solekan yang dijalankan di studio sementara.