Pengasuh didakwa cederakan bayi 3 bulan

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

IPOH: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang bayi lelaki 3 bulan dalam kejadian di Seri Iskandar, minggu lalu.

Ros Azlina Mohd Ismail, 46, didakwa bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Muhammad Zaheen Affan Mohamad Zulkarnain, di sebuah rumah di Seri Iskandar pada 11.30 pagi, 8 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ros Azlina meminta jaminan dikurangkan dengan alasan tidak bekerja dan mempunyai 9 anak.

Hakim, Datuk Julie Lack bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 18 September untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.