SME Corp patut bawah kami, kata Kementerian Pembangunan Usahawan

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) berkata SME Corp, agensi penyelarasan berpusat untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), patut diletakkan bawah bidang kuasanya kerana memperkasa PKS matlamat utamanya.

SME Corp sekarang ini diletakkan bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

MED dalam kenyataannya mengulas tentang matlamat utama kementerian iaitu menggubal dasar pembanguna usahawan dan PKS yang inklusif dan berdaya saing.

“Pelaksanaan polisi keusahawanan negara akan lebih holistik dan komprehensif apabila SME Corp diletakkan bawah MED.

“Ia akan memantapkan lagi usaha melonjakkan penyertaan PKS dalam ekosistem rantai nilai, antaranya melalui penyelarasan dana keusahawanan dan PKS serta aktiviti penggalakan dan pembudayaan keusahawanan PKS secara berpusat.”

Kementerian berkata ia akan lebih fokus untuk membangunkan industri PKS dengan menyediakan ekosistem fasiliti yang ditawarkan oleh agensi bawah MED.

Kenyataan itu berkata penubuhan semula MED amat relevan memandangkan prestasi usahawan serta PKS termasuk perusahaan mikro masih di tahap lemah.

“Selain itu, dengan ketiadaan agensi atau kementerian yang mempunyai peranan khas dalam keusahawanan dan PKS selama ini, banyak program keusahawanan yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan didapati bertindih antara satu sama lain.”

Sebelum ini media meaporkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Hatta Ramli berkata kementerian sedang berbincang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil alih agensi-agensi kerajaan dan badan-badan berkaitan termasuk Mara, SME Corp dan Tekun Nasional.

Baru-baru ini Malay Mail melaporkan Persatuan PKS Malaysia menggesa kerajaan mengekalkan SME Corp bawah Miti kerana aturan sedia ada membolehkan penyelarasan selanjar dengan komuniti perdagangan antarabangsa.