Azmin tolak berdebat dengan Rafizi

Azmin Ali percaya perkara itu boleh dibincangkan secara dalaman parti. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berkata beliau tidak nampak kewajaran berdebat dengan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sempena pemilihan parti kali ini.

Timbalan presiden PKR itu berkata pemilihan PKR adalah pemilihan parti, dan ia bukannya pilihanraya presiden.

“Ini bukan pilihanraya presiden di mana anda mahu penglibatan daripada rakyat.

“Ini pemilihan di kalangan ahli parti dan saya percaya kita boleh bincang secara dalaman untuk kebaikan parti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kesediaan Rafizi untuk berdebat dengannya, semalam.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu bertanding menentang Azmin bagi jawatan timbalan presiden PKR.

“Kalau tidak ada debat, amat memalukan kerana Umno melakukannya sebelum ini,” katanya.

Rafizi juga melancarkan kempen beliau bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR dan menyenaraikan 8 orang sebagai regu penyokongnya dalam pemilihan tersebut.

Azmin berkata, beliau mengucapkan “terima kasih” kepada Rafizi berkenaan perkara tersebut.

Katanya, PKR juga perlu dilihat lebih kuat selepas pemilihan parti.

Jun lepas, sebelum berlangsungnya pemilihan Umno, satu debat diadakan antara calon utama bagi kerusi presiden parti itu yang melibatkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.